CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!

Jumaat, 18 Mac 2011

:: Situasi 40 : Satu Perkataan Disebut Seluruh Dunia ::


SITUASI :
Awal pagi semalam saya menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara di antara pasukan Real Madrid dan pasukan Lyon. Perlawanan yang sangat menghuburkan itu berakhir dengan kemenangan tiga gol berbalas kosong di pihak pasukan Real Madrid. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah berkenaan sorakan para penonton apabila pemain menjaringkan gol. Di tempat saya menyaksikan perlawanan tersebut, terdapat pelbagai bangsa yang turut sama menyaksikan dan bersorak. Apabila pemain menjaringkan gol, semuanya bersorak satu perkataan yang sama iaitu ‘gol’. Teringat pula kata-kata seorang pengulas sukan suatu ketika dahulu :
“Sebenarnya sukan bola sepak ini menyatukan semua penonton. Ini kerana apabila pasukan mereka mendapat gol, mereka akan bersorak satu perkataan yang sama iaitu ‘gol’. Tidak kiralah Mat Saleh dari Amerika, Negro dari Afrika, Pak Arab dari Mesir, dan lain-lain lagi”



ULASAN :
Pada pendapat saya, sukan sememangnya salah satu unit penghubung di antara para penontonnya. Kita dapat lihat mereka akan sama-sama bersorak walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Namun apabila mereka berada di dalam satu kelompok yang sama, mereka ibarat seperti sebuah keluarga. Berkenaan perkataan ‘gol’ yang saya nyatakan di atas, saya menyokong kenyataan pengulas sukan terbabit. Saya sendiri pernah menyaksikan perlawanan bola sepak secara dalam talian melalui komputer riba. Walaupun pengulas perlawanan ketika itu mengulas dalam bahasa Arab, namun apabila ada pemain yang menjaringkan gol, perkataan yang sama disebut turut sama dan tetap berbunyi ‘gol’. Ini juga berlaku apabila menonton perlawanan bola sepak secara dalam talian di saluran berbahasa Cina. Pengulasnya turut menyebut ‘gol’ apabila gol dapat dijaringkan walaupun sebelum itu dia berbahasa Cina sepenuhnya. Saya merasakan perkara ini sangat menarik jika dikaji dengan lebih mendalam.


Mohammad Yusop








Rabu, 16 Mac 2011

:: Situasi 39 : Goreng Pisang Atau Pisang Goreng? ::


SITUASI :
Hari ini saya menghadiri kelas EDU di Taman Bernam berbekalkan sebungkus pisang goreng yang amat sedap. Memandangkan pensyarah belum tiba, saya menjamu pisang goreng tersebut kapada rakan-rakan yang telah tiba. Semasa menjamu selera pisang goreng yang masih panas itu, seorang rakan dengan bersahaja memuji kesedapan pisang goreng yang saya beli tadi. Berikut merupakan pujian yang dilontarkan oleh rakan saya :
“Uih sedap la goreng pisang ni. Hang beli kat mana?”
Tiba-tiba rakan yang lain terus menjawab “oi pisang goreng la, bukan goreng pisang!”




                                                pisang goreng





                                                                        goreng pisang



ULASAN :
Berdasarkan pada situasi di atas, saya melihat perkara yang sinonim dengan kehidupan kita sememangnya amat sukar dipisahkan. Sebagai contoh, ia melibatkan penyebutan perkataan seperti pada situasi di atas. Walaupun rakan saya merupakan pelajar program pendidikan bahasa Melayu, namun dia masih belum dapat membiasakan diri dengan peraturan tatabahasa yang betul. Perkara ini sebenarnya berkenaan hukum D-M iaitu diterangkan dan menerangkan. Jika kita menyebut goreng pisang, ini bermakna perbuatan menggoreng pisang sedang dilakukan. Jika kita menyebut pisang goreng, ia bermaksud pisang yang telah digoreng. Situasi sebegini bukan sahaja berlaku dalam interaksi lisan, sebaliknya masih berlaku di dalam penggunaan papan-papan iklan oleh peniaga yang tidak peka kepada penggunaan bahasa Melayu yang tepat. Saya masih ingat beberapa kedai di kampong masih menggunakan papan iklas yang tertulis “Goreng Pisang Panas”,”Goreng Pisang Sedap”, “Goreng Pisang Pak Man” dan macam-macam lagi. Semuanya masih tidak memahami hakikat hukum D-M yang terdapat pada bahasa Melayu.

Mohammad Yusop


:: Situasi 38 : Ceklat Atau Gula-Gula? ::


SITUASI :
Minggu ini merupakan minggu yang paling sibuk dan padat dengan pelbagai kerja yang tertangguh memandangkan semua tugasan harus dihantar pada minggu ini ataupun minggu hadapan. Semasa di dalam kelas, saya melihat  rata-rata rakan yang lain mengalami keletihan kerana tidak cukup tidur akibat berjaga malam menyiapkan segala tugasan yang mesti dihantar. Semasa sesi pembelajaran sedang berlangsung, rakan saya  yang duduk di belakang bertanya saya sama ada saya mempunyai gula-gula atau tidak untuk menghilangkan ngantok. Berikut merupakan pertanyaanya kepada saya :
“Wei San, mu ade ceklat tak? Ngantok mata aku ni”
Saya teringat ketika kali pertama mendengar perkataan ceklat daripada seorang rakan yang berasal dari negeri Kedah. Pada masa itu saya agak bingung kerana jarang sekali saya membawa coklat datang ke kelas dan memikirkan apa motifnya tiba-tiba bertanya sama ada saya mempunyai coklat atau tidak. Rupa-rupanya coklat yang dimaksudkan merujuk kepada gula-gula.




                                                                        coklat



                                                                          gula-gula



ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kita dapat lihat kekeliruan yang berlaku daripada penggunaan perkataan yang biasanya kita rujuk pada suatu benda yang tertentu, namun digunakan oleh rakan untuk merujuk makna yang berlainan. Apabila berkata tentang coklat, sudah pasti kita akan membayangkan coklat yang enak berjenama Cadbury, Van Hauten, Ferero Rosher dan sebagainya. Oleh itu, jarang sekali kita membawa coklat yang berkenaan datang ke kelas. Rupanya terdapat makna sebaliknya berdasarkan perkataan coklat terbabit. Setelah diteliti, saya dapat mengesan perkataan coklat yang merujuk makna gula-gula hanya digunakan oleh individu yang berasal dari negeri bahagian utara dan bahagian pantai timur semenanjung Malaysia. Selain itu, ada juga perkataan lain yang berlaku keadaan seperti situasi di atas antaranya perkataan timun yang digunakan merujuk buah tembikai yang digunakan oleh orang pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Mohammad Yusop


:: Situasi 37 : Sikap Tidak Serius Membawa Padah ::


SITUASI :
Hari ini bermulanya pembentangan tugasan individu kursus Semantik dan Pragmatik yang diajar oleh pensyarah yang sangat berpengalaman dalam subjek berkenaan. Pensyarah berkenaan telah meminta saya meneruskan pembentangan di dalam kelas menggunakan kaedah rakaman kerana beliau terpaksa keluar menilai pelajar yang sedang berpraktikum. Tiba giliran seorang pelajar yang dilihat sering tidak serius di dalam melaksanakan pelbagai perkara termasuklah pembentangan yang dilakukannya pada hari ini. Semasa pelajar terbabit membentang, terdapat soalan yang dikemukakan oleh rakan sekelas kerana terdapat kekeliruan pada bahan pembentangannya. Akibat daripada sikapnya yang kurang serius di dalam banyak perkara, dia telah memberikan jawapan kepada pertanyaan tersebut dengan pernyataan di bawah :
“betul la ni aku ambik dalam buku. Kalau salah mesti sebab buku ni tak bagus”
Dia telah terlepas mengeluarkan kenyataan tersebut secara bergurau dan tidak menyedari bahawa pembentangannya sedang dirakam. Akhirnya video rakaman pembentangannya terpaksa diedit dan dipotong bahagian yang berikut.



ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kita dapat lihat bahawa sikap sambil lewa dan tidak serius seringkali akan menyusahkan diri sendiri. Walaupun kata-kata yang dikeluarkan secara gurauan, namun jika diketahui oleh penulis buku terbabit, mungkin akan mengakibatkan pihak terbabit berasa marah ataupun kecil hati.  Berdasarkan situasi berkenaan, buku yang digunakan adalah tulisan pensyarah yang mengajar subjek itu sendiri. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dalam menuturkan kata-kata kerana kita perlu ingat pada satu bidalan yang berbunyi ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’.


Mohammad Yusop


:: Situasi 36 : Istilah Sukar ::

SITUASI :
Hari ini saya melakukan sedikit ulangkaji memandangkan giliran melakukan pembentangan bagi kursus Semantik dan Pragmatik akan dilaksanakan pada hari esok. Semasa membaca bab yang berkenaan dengan tajuk pembentangan saya di dalam sebuah buku yang dihasilkan oleh seorang pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, saya tiba-tiba berasa keliru dengan pelbagai istilah sukar yang digunakan bagi menerangkan sesuatu pernyataan atau contoh. Pernyataan sukar yang saya maksudkan adalah seperti berikut :
“substantiva”



ULASAN :     
Berdasarkan situasi di atas, saya secara peribadi ingin memberi pendapat berkenaan penggunaan ayat dan istilah berdasarkan buku berkenaan. Sebagai seorang pensyarah yang pakar dalam bidang berkenaan, sepatutnya beliau berperanan sebagai penyampai maklumat kepada para pembaca. Namun apa yang saya lihat daripada pembacaan dari buku berkenaan, maklumat yang cuba disampaikan kepada para pembaca seperti samar-samar dan ada sesetengahnya langsung tidak difahami maksud yang sebenar. Jika penulis hanya memberikan maklumat berdasarkan kefahamannya sahaja, maka buku tersebut sepatutnya tidak perlu dijual dan disimpan untuk rujukannya sahaja. Tujuan sebenar sesebuah buku rujukan ditulis adalah untuk menyampaikan maklumat dengan mudah dan memberi kefahaman kepada pembaca. Oleh itu, para penulis haruslah peka dengan situasi sebegini agar pembaca tidak celaru ketika membaca buku yang dihasilkannya.

Mohammad Yusop


:: Situasi 35 : Pukul Berapa Atau Jam Berapa? ::

SITUASI :
Hari ini saya menghadiri kelas Karya Agung seperti biasa yang diajar oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Semasa sesi pembelajaran sudah tiba ke penghujungnya, seorang rakan saya bertanya waktu ketika itu menunjukkan jam berapa. Berikut merupakan soalan yang ditujukan kepada saya :
Rakan : Dah pukul berapa sekarang ni?
Saya : Dah 12.45.
Pada masa itu, rakan saya yang duduk di bahagian belakang menegur perbualan kami.
Rakan II : Bukan pukul berapa, jam berapa.



ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya percaya kebanyakan di antara kita masih menggunakan istilah yang sama untuk merujuk waktu. Sebenarnya perkataan tersebut tidak salah digunakan untuk merujuk waktu. Berdasarkan Kamus Dewan, perkataan pukul juga bermaksud ‘bahagian daripada sesuatu hari seperti yang ditunjukkan oleh jam, waktu tertentu dalam sesuatu hari’. Perkataan pukul tersebut tidak hanya merujuk ketuk dan sebagainya, sebaliknya kita perlulah melihat perkataan pukul tersebut dalam konteks makna yang lain seperti yang tercatat di dalam Kamus Dewan.



Mohammad Yusop


:: Situasi 34 : Kata Hubung Gabungan Dan Dan Tetapi. ::


SITUASI :
Hari ini berlangsung pembentangan berkumpulan kursus Sosiolinguistik yang kesemuanya membincangkan tentang peranan bahasa sama ada kepada masyarakat, bahasa kebangsaan, bahasa kehakiman dan lain-lain lagi. Semasa berlangsung pembentangan, saya dapat melihat beberapa orang pelajar masih tidak dapat menggunakan kata hubung gabungan dengan tepat di dalam pertuturannya. Sebagai contoh, saya ambil ayat yang berikut :
“dan yang paling penting bahasa Melayu adalah sebagai bahasa perpaduan”
Ayat ini diujarkan setelah ayat yang sebelumnya ditamatkan. Ini bermakna pelajar terbabit memulakan ayat dengan menggunakan kata hubung gabungan dan pada awal ayatnya.

ULASAN :
Kata hubung gabungan dan dan tetapi sepatutnya hanya digunakan di bahagian tengah frasa atau ayat. Ia berfungsi sebagai penghubung di antara satu premis ayat dengan premis ayat yang satu lagi. Kita sedia maklum, kesalahan ini sukar dikesan pada penulisan. Berdasarkan situasi di atas, ia berlaku di dalam situasi lisan iaitu semasa pembentangn berlangsung. Berdasarkan buku Semantik Pragmatik hasil tulisan Abdullah Yusof, kata hubung gabungan dan dan tetapi ada digunakan pada awal ayat seperti tertulis pada buku sejarah Melayu atau Sulalatussalatin. Di dalam bukunya, beliau membincangkan cara mengatasi masalah penyalahgunaan kata hubung gabungan ini iaitu penahu bahasa harus menukar teori ataupun pengguna bahasa sememangnya patut patuh pada undang-undang tatabahasa yang sedia ada.



Mohammad Yusop


:: Situasi 33 : Variasi Bahasa ::


SITUASI :
Hari ini pembentangan tugasan berkumpulan iaitu tugasan penghasilan video pendek sama ada berbentuk drama ataupun iklan pendek. Terdapat satu kumpulan yang mempersembahkan video yang menggunakan variasi bahasa.
Pelakon 1 : Mok, baju Suzi ni koyak. Mok tolong jaik. Suzi nak kuar.
Pelakon 2 : Mu nape cek? Aku tengok mu bising-bising habis kecoh so kampong.
Pelakon 3 : Ya buk, ngapain datang ke mari?
Berikut merupakan antara skrip perbualan di antara pelakon di dalam drama pendek bertajuk “Bertuah Punya Anak”. Apabila pensyarah meminta pendapat mengenai video berkenaan daripada rakan sekelas, seorang pelajar telah memberi komen bahawa video berkenaan tidak dapat difahami kerana bahasa yang digunakan amat sukar.

ULASAN :
Berkenaan video berkenaan, saya agak tidak bersetuju dengan komen yang diberikan oleh pelajar terbabit. Pada pendapat saya, kumpulan tersebut telah menunjukkan kelainan dari segi penggunaan bahasa yang pelbagai. Bukan mudah untuk seseorang itu menuturkan bahasa asing yang tidak pernah digunakan. Maka usaha yang dilakukan kumpulan terbabit sememangnya memberi kelainan dan patut diterima oleh pelajar yang lain kerana di universiti sendiri terdapat pelbagai golongan pelajar yang berasal dari negeri yang berlainan. Jadi mustahil jika kita sebagai seorang pelajar yang sudah lama bergaul dengan pelajar yang berlainan negeri masih tidak memahami bahasa yang dituturkan oleh pelakon di dalam video terbabit. Jika dilihat dalam konteks perguruan pula, pelajar terbabit mungkin akan mengalami masalah jika masih tidak dapat menerima bahasa yang menggunakan dialek negeri kerana pada masa hadapan seseorang bakal guru akan ditempatkan di merata negeri.

Mohammad Yusop


:: Situasi 32 : Nasi Beriyani gam ::


SITUASI :
Hari ini saya dan beberapa orang rakan yang lain telah berpakat untuk menghadiri Karnival Jom Heboh anjuran TV3 di Danga Bay, Johor. Sekembalinya dari karnival berkenaan, saya dan rakan-rakan memilih untuk menikmati keenakan nasi beriyani abah yang terletak di Bandar Baru Uda, Johor Bharu. Menurut apa yang diceritakan oleh abang saya, restoran ini menyediakan pelbagai jenis nasi beriyani dan maskannya semua enak. Saya mengambil keputusan untuk menikmati nasi beriyani gam burung puyuh kerana tidak pernah menikmatinya sebelum ini. Setelah menunggu beberapa ketika, pelayan restoran datang menghantar makanan yang dipesan. Berikut merupakan kata-kata yang dituturkan pelayan restoran terbabit :
“ha gam lembu sapa punya, gam kambing, gam puyuh” sambil tersenyum.
Salah seorang rakan saya telah bergurau dengan bertanyakan “gam gajah ada bang?”
Semua yang ada disitu tergelak termasuklah pelayan terbabit.



ULASAN :
Berdasarkan pada situasi di atas, saya dapat lihat para pelayan sangat pandai melayan pelanggan yang datang dan kadangkala layanannya juga buat kami terhibur dengan pertanyaan seperti ‘gam lembu, gam kambing dan gam puyuh’. Nasi beriyani gam sememangnya popular di negeri Johor terutamanya di daerah Batu Pahat. Mungkin masih ada di antara kita yang masih tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan nasi beriyani gam? Adakah nasi beriyani itu dicampur dengan gam? Sebenarnya apa yang yang diakatakan nasi beriyani gam ialah nasi beriyani yang dicampurkan sekali dengan lauk di dalamnya. Sebagai contoh, nasi beriyani gam kambing, lauk daging kambing akan diletakkan di dalam nasi menjadikan nasi terbabit lebih beraroma berbanding nasi beriyani biasa. Itulah sebenarnya nasi beriyani gam yang sering menjadi persoalan kepada sesetengah pihak.

Mohammad Yusop


:: Situasi 31 : Bela Atau Baik Pulih? ::


SITUASI :
Hari ini saya melawat keluarga pakcik di Segamat, Johor. Semasa di rumah pakcik, saya terdengar beberapa istilah yang agak mengelirukan yang dituturkan oleh pakcik kepada anak-anaknya. Salah satu perbualan yang ingin saya kongsi adalah berkenaan istilah ‘bela’. pada mulanya anak pakcik yang bernama Haziq baru pulang dari bengkel membaiki motosikal kerana motosikalnya menghadapi masalah pada enjin. Berikut merupakan perbualan antara pakcik dan anaknya :
Pakcik : kat mane ko bela motor tu?
Haziq : kat kedai angah depan tu je. Dah ok ni.
Saya agak tertanya-tanya di dalam hati berkenaan kesesuaian istilah bela yang dituturkan pakcik merujuk membaik pulih motosikal.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kemungkinan perkataan bela yang dituturkan oleh pakcik sering digunakan dalam kalangan keluarganya. Hal ini demikian kerana anaknya langsung tidak mengalami masalah untuk memahami soalan yang diutarakan oleh pakcik. Jika dilihat pada perkataan bela tersebut, saya tentunya membayangkan haiwan yang dibela ataupun barangan yang dijaga rapi dan kamus minda saya langsung tidak memikirkan bahawa perkataan bela itu merujuk makna membaik pulih. Berdasarkan Kamus Dewan, makna perkataan bela sememangnya merujuk memelihara sama ada haiwan ataupun memelihara harta benda. Saya juga tidak menemui makna perkataan bela merujuk membaik pulih. Saya dapat simpulkan di sini bahawa kemungkinan istilah tersebut telah digunakan secara turun temurun dan sudah sebati dengan keluarga pakcik.


Mohammad Yusop


:: Situasi 30 : Terima Kasih Tuan! ::


SITUASI :
Hari ini saya menghadiri satu perjumpaan bersama ahli kelab kereta iaitu Kelab Pemilik Perodua Viva Malaysia di Johor Bharu. Pada asalnya saya memang sudah dijemput untuk menghadiri perjumpaan berkenaan supaya dapat sama-sama memeriahkan majlis yang akan diadakan. Namun memandangkan saya berada di Perak ketika dihubungi oleh ahli kelab di Johor Bharu, maka saya menolak pelawaan tersebut. Hari ini kebetulan saya pulang ke Johor Bharu untuk menguruskan sedikit hal keluarga dan dikesempatan itu saya memperuntukkan sedikit masa untuk menghadiri majlis berkenaan. Apabila tiba di majlis tersebut, saya disambut oleh seorang ahli jawatankuasa yang sedang menunggu ketibaan ahli kelab yang lain. Berikut merupakan teguran pertama ahli jawatankuasa terbabit semasa menyambut ketibaan saya :
“Eh tuan ada. Terima kasih tuan sebab datang. Dah lama tak jumpa orang lama kelab”
Saya merasakan terlalu segan ketika itu kerana telah disapa dengan panggilan tuan sedangkan orang yang menyambut saya berumur lebih tua daripada saya.



ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kita dapat lihat bagaimana seorang individu yang lebih tua menunjukkan rasa hormat kepada ahli lama sedangkan saya jauh lebih muda darinya. Saya sangat kagum dengan individu tersebut kerana dia telah menunjukkan satu penghormatan kepada orang lain dengan caranya berbahasa walaupun menyedari orang yang disapa itu lebih muda darinya. Sikap sebegini patut dicontohi kepada individu lain agar hubungan yang terjalin sesama rakan akan bertambah erat hanya dengan kesantunan bahasa yang digunakan.

Mohammad Yusop


:: Situasi 29 : Adab Berbahasa ::


SITUASI :
Hari ini saya menghadiri perjumpaan pelajar bahasa Melayu semester enam bersama Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Bin Saludin, penyelaras praktikum, Encik Nik Hassan Basri dan penyelaras bahasa Melayu, Dr. Siti Saniah. Perjumpaan ini diadakan bagi membincangkan isu-isu berkaitan praktikum yang banyak menimbulkan permasalahan kepada para pelajar. Namun isu yang sepatutnya diperbincangkan telah diketepikan dan digantikan dengan taklimat berkenaan praktikum. Apabila taklimat sudah berakhir, barulah dibuka soalan kepada para pelajar. Dua orang pelajar telah bangun untuk bertanyakan solan dan memberikan pendapat mengenai penempatan praktikum. Apabila soalan telah diutarakan, kami telah dikejutkan dengan teguran Ketua Jabatan yang mendakwa kami kurang ajar dan tidak beradab semasa berbahasa. Beliau menyatakan sepatutnya kami perlu bangun, meminta maaf, memberikan salam dan akhirnya barulah bertanyakan soalan. Akhirnya perjumpaan yang dilaksanakan bagi menyelesaikan beberapa masalah berkenaan praktikum berganti kepada situasi yang suram kerana bukan sahaja masalah tidak mendapat jawapan yang sepatutnya, sebaliknya kami di hentam kerana dikatakan tidak pandai berbahasa.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya tidak dapat melihat kebenaran sebenarnya terletak di pihak mana. Saya yang ada di dalam perjumpaan tersebut mendengar sendiri rakan pelajar yang bangun dan memberikan soalan kepada penyelaras praktikum. Mungkin dengan keadaan ruang yang agak besar dan tidak terdapat pembesar suara pada pelajar berkenaan, maka suaranya terpaksa ditinggikan untuk memberikan soalan yang lebih jelas. Pada pandangan saya, ketika itulah Ketua Jabatan merasakan pelajar tersebut kurang ajar dan meninggikan suara. Saya di pihak pelajar akui kami ketika itu dalam keadaan yang beremosi dan mungkin tidak perasan bahawa kami telah melakukan sesuatu yang biadab. Namun, kami menerima teguran tersebut dengan baik dan mungkin dapat dielakkan untuk perjumpaan yang akan datang.  


:: Situasi 28 : Wanita, Perempuan Dan Betina ::


SITUASI :
Hari ini saya menghadiri seminar Bahasa Melayu Tinggi yang telah disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Pada ceramahnya, saya tertarik dengan isu penggunaan istilah wanita dan perempuan. Menurutnya kita sebagai insan yang berpendidikan haruslah menggunakan bahasa yang arasnya lebih tinggi berbanding golongan lain yang tidak berpendidikan. Oleh itu, jika ingin merujuk kepada seorang perempuan yang berjaya, kita patut gunakan istilah wanita agar ia lebih menggambarkan kedudukan tinggi yang ada padanya. Saya sangat setuju dengan kenyataannya kerana sebelum ini saya sering mendengar istilah perempuan jalang, perempuan sundal dan pelbagai lagi istilah buruk yang dikaitkan dengan perkataan perempuan. Namun, saya juga teringat istilah perempuan ini disebut dengan istilah betina oleh orang Kelantan. Saya masih ingat soalan yang ditujukan rakan yang berasal dari negeri Kelantan.
“Ore jate ko ore tino hok gaduh tu?”
Saya agak keliru untuk menjawab soalannya kerana saya tidak biasa untuk menggunakan istilah betina untuk merujuk perempuan dan akhirnya saya menjawab dengan perkataan “perempuan”. Oleh itu adakah saya menjawab persoalannya?

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya ambil ketiga-tiga perkataan tersebut dan di rujuk maknanya kepada Kamus Dewan. Makna perkataan wanita ialah orang perempuan, menunkukkan sifat-sifat kewanitaan manakal perkataan perempuan merujuk makna lawan laki-laki, yang suka pada laki serta merujuk juga beberapa istilah yang kurang baik. Apabila merujuk kepada makna perkataan betina pula, ia bermaksud panggilan kesat kepada wanita yang kelakuannya menyimpang daripada norma masyarakat. Jelas kita dapat lihat di sini bahawa perkataan yang paling elok untuk merujuk kepada seorang perempuan ialah wanita manakala perkataan yang paling teruk ialah betina. Saya mula terfikir di dalam hati bahawa suatu hari nanti saya ingin beristerikan seorang wanita dan bukannya perempuan ataupun betina.

:: Situasi 27 : Pertanyaan Atau Kemarahan? ::


SITUASI :
Hari ini saya bersama seorang rakan telah menjalankan pengajaran makro di sebuah sekolah menengah di Sungkai, Perak. Pengajaran makro ini merupakan salah satu syarat wajib untuk lulus dalam kursus Pengajaran Dan Penaksiran II. Semasa sampai di sekolah berkenaan, kami telah diuji dengan beberapa halangan antaranya bilik makmal bahasa yang sepatutnya kami gunakan pada hari ini telah digunakan oleh seorang guru yang dikatakan senior di sekolah berkenaan. Lalu kami mengambil jalan penyelesaian dengan meminta kebenaran untuk melaksanakan pengajaran makro di makmal sains sekolah yang tidak digunakan pada hari ini berkenaan. Selepas itu segalanya berjalan dengan baik. Namun apabila tiba giliran rakan yang sedang mengajar hampir ke penghujung pembelajaran, seorang pembantu makmal yang telah berusia datang dengan muka bengis dan terus menengking dengan soalan berikut :
Pembantu makmal : Ni ada apa ni? Bila nak habis?
Rakan : Sekejap je lagi encik. Minta maaf ye.
Pembantu makmal : Cepat sikit! Pukul berapa dah ni?!
Pembantu makmal yang telah berusia tadi terus meninggalkan kami sambil tercengang dengan gelagatnya yang dilihat amat tidak sopan.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya melihat betapa seorang yang telah berusia dan sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik telah berkelakuan sebaliknya yang dilihat sangat tidak sopan. Walaupun kami datang hanya sebagai guru pelatih, sepatutnya dia menghormati tugasan kami. Mungkin kami juga bersalah kerana telah menggunakan waktu yang lebih pada hari tersebut sehingga menyebabkan dia terpaksa pulang lewat. Namun kami sudah meminta maaf dan sepatutnya dia memahami tugas kami dan bukannya memarahi kami dihadapan murid-murid. Sikap sebegini seperti menjatuhkan air muka orang lain dan mesti dielakkan dalam diri jika kita juga ingin dihormati oleh orang lain.

:: Situasi 26 : Ayam Sunat ::


SITUASI :
Hari ini saya menjalankan rutin biasa dalam kehidupan di kolej. Awal pagi saya akan melayari laman sosial facebook untuk melihat perkembangan atau berita terbaru daripada rakan berkenaan kuliah dan sebagainya. Saya lihat dibahagian pemberitahuan, terdapat satu gambar yang telah ditandakan rakan kepada saya. Gambar tersebut sangat menarik perhatian saya kerana terdapat unsur bahasa yang agak melucukan. Di dalam gambar itu, tertulis satu pemberitahuan di hadapan kedai menjual haiwan peliharaan. Berikut merupakan gambar yang saya maksudkan :

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, secara mata kasar sememangnya perkara tersebut dilihat sebagai suatu yang lucu, namun ia telah memberi kesan kepada ketinggian bahasa Melayu. Berdasarkan gambar tersebut, kedai peliharaan haiwan ini terletak di ibu kota Kuala Lumpur. Sikap pemilik kedai yang tidak mengambil berat terhadap penggunaan bahasa akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan bahasa yang berlarutan. Ini akan mempengaruhi anak-anak kecil yang memikirkan penggunaan bahasa tersebut betul dan terus menyimpan di dalam kamus minda mereka. Akhirnya, bahasa Melayu dilihat semakin rendah kualitinya kerana telah digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

:: Situasi 25 : Penggunaan Awak Dan Aku ::


SITUASI :
Hari ini saya berjumpa dengan seorang rakan yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu bagi membincangkan sebuah program yang akan kami laksanakan tidak lama lagi. Pada kebiasaannya, saya akan menggunakan kata ganti nama diri “aku” jika berbual dengan rakan-rakan yang telah rapat. Namun berbeza dengan rakan saya yang seorang ini, dia sememangnya akan menggunakan kata ganti nama diri ‘saya’ dan ‘awak’ jika berbual atau berbincang dengan rakan-rakan walaupun telah lama menjadi rakan yang akrab. Berikut merupakan antara perbualan saya dengan rakan yang saya maksudkan :
Akan : Awak dah tempah tempat untuk program tu?
Saya : Saya dah tempah, Cuma kena comfirmkan semula dengan pegawai tu.
Saya yang pada mulanya seakan ingin menggunakan ‘aku’, akhirnya turut sama menggunakan ‘saya’ bagi membahasakan diri sebagai menghormatinya.

ULASAN :
Penggunaan kata ganti nama diri pertama dan kedua sememangnya menjadi masalah jika kita tidak mengenali orang yang akan berbual bersama kita. Situasi yang sering berlaku ialah penggunaan ‘saya’ akan digunakan sewaktu di peringkat awal perkenalan, sebaliknya jika sudah lama mengenali, secara sendiri kata ganti nama diri itu akan berubah kepada ‘aku’ dan ‘kau’. Berbalik kepada situasi di atas, saya melihat rakan saya mempunyai pegangannya sendiri iaitu terus menggunakan kata ganti nama diri ‘saya’ dan ‘awak’ walaupun sudah lama mengenali saya. Perkara ini tidak akan menimbulkan masalah kerana penggunaan ‘saya’ dan ‘awak’ sememangnya merupakan kata ganti nama diri yang dilihat agak sopan.

:: Situasi 24 : Kata Sapaan Yang Tepat ::


SITUASI :
Hari ini saya menghadiri satu seminar anjuran Persatuan Bahasa Melayu bekenaan penggunaan kata sapaan yang tepat. Penceramah yang dijemput untuk menyampaikan ceramah berkenaan ialah Dr. Zulkifli, Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya amat tertarik dengan ceramah yang disampaikan kerana ia amat berguna kepada para pelajar yang sememangnya akan terlibat denga pelbagai majlis atau situasi yang memerlukan kita menggunakan kata sapaan. Berikut merupakan potongan ayat penceramah yang dapat saya kongsikan bersama :
“Kita tidak boleh sesuka hati memanggil orang lain dengan panggilan pakcik, abang dan sebagainya. Sebaliknya kata sapaan yang betul ialah encik dan sangat sesuai digunakan kepada sesiapa sahaja”

ULASAN :
Berdasarkan ceramah yang saya hadiri ini, saya sangat bersetuju dengan kenyataan di atas. Seringkali saya melihat individu menegur orang yang tidak dikenali dengan panggilan abang, pakcik dan sebagainya. Perkara sebegini tidak akan menimbulkan masalah sekiranya orang yang ditegur merupakan orang biasa dan tidak mempunyai sebarang pangkat atau gelaran khas. Sebaliknya jika berlaku kepada individu yang mempunyai darjah kebesaran seperti Datuk, Tan Sri, Profesor dan sebagainya, kadangkala golongan ini akan rasa tersinggung dengan kata sapaan tersebut. oleh itu, bagi mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini, penggunaan kata sapaan ‘encik’ adalah sangat sesuai jika digunakan untuk menegur sesiapa sahaja. Bermula dari hari ini, saya sememangnya sudah berlatih untuk menegur orang yang saya tidak kenali dengan panggilan ‘encik’.


:: Situasi 23 : Penangan Dialek ::


SITUASI :
Hari ini saya bersama keluarga pergi ke Kulim, Kedah untuk menghadiri satu majlis pernikahan sepupu. Perjalanan dari Tanjong Malim ke Kulim memakan masa selama empat jam. Semasa tiba di Plaza Tol Juru, abang saya yang memandu tidak dapat mengingati jalan ke rumah pengantin kerana sudah lama tidak menziarahi keluarga terbabit. Ayah telah mengambil keputusan untuk menghubungi pakcik saya untuk bertanyakan laluan sebenar ke rumahnya. Berikut merupakan perbualan ayah dan pakcik :
Ayah: Assalamualaikum. Hang dang tido ka?
Pakcik : Waalaikumussalam. Dak aih. Cerah lagi mata ni. Hang dah dok mana?
Ayah : Aku dah kat Tol Juru ni. Tak tau dah jalan nak ke rumah hang. Lupa dah.
Pakcik : Oh dah senang tu. Hang terus ikut jalan Seberang Jaya, nanti hang nampakla signboard Kulim.
Selepas mendapat penerangan serba sedikit daripada pakcik, kami pun meneruskan perjalanan ke destinasi yang dihajati.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya amat tertarik dengan perbualan ayah dan pakcik. Kedua-duanya berasal dari negeri Johor, namun perbualan yang digunakan adalah dialek utara. Pakcik saya sudah lama menetap di Kulim dan mungkin dialek daerah dan masyarakat sekitarnya telah mempengaruhi cara percakapannya. Perkara yang lebih menarik, ayah juga turut terikut-ikut menggunakan dialek utara semasa berbual dengan pakcik. Rupa-rupanya sungguh indah situasi bahasa di negara ini.


:: Situasi 22 : Pengumuman Murahan ::


SITUASI :
Hari ini saya pulang dari kelas seperti biasa. Seperti hari-hari yang lain, saya akan melihat papan kenyataan yang terletak bersebelahan dengan lif blok kolej penginapan saya. Mata saya tertumpu pada satu memo yang mengkehendaki pelajar yang terlibat supaya menghantar slip keputusan peperiksaan. Bahasa yang digunakan seperti sudah menepati peraturan tatabahasa pada awalnya, namun terdapat kecacatan pada memo tersebut. Berikut merupakan potongan ayat daripada memo yang saya maksudkan. :
“Kepada pelajar yang berkenaan, sila hantar salinan slip result exam sebelum 10 Mac 2011”

ULASAN :
Berkenaan situasi di atas, sekali lagi saya berasa terkilan dengan pihak yang meluluskan memo berkenaan ditampal pada papan kenyataan seluruh kampus dan kolej. Persoalan yang timbul, sejauh mana pihak tersebut berasa sensitif dengan isu bahasa? Saya menuntut di universiti pendidikan yang bakal melahirkan bakal pendidik. Jadi apa akan jadi sekiranya pendidik sendiri masih menggunakan bahasa yang salah? Pada pandangan saya, tidaklah sukar perkataan slip result exam itu digantikan dengan slip keputusan peperiksaan. Hal ini demikian kerana perbezaan huruf di antara kedua-dua perkataan tersebut hanyalah lapan huruf. Sanggupkah dengan lapan huruf terbabit, bahasa kita yang indah ini akan semakin mundur dan dilihat sebagai bahasa jalanan? Fikir-fikirkanlah.

:: Situasi 21 : Bahasa Seberang ::


SITUASI :
Hari ini saya pergi ke kedai makanan Abuya yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tanjong Malim. Di kedai tersebut terdapat seorang pekerja dari Jawa Barat, Indonesia yang membahasakan dirinya Umi. Pekerja ini amat peramah dan pandai berbahasa dengan pelanggan yang datang sehingga hubungan di antara pelanggan dengan pekerja ini amat rapat. Di bawah ini merupakan salah satu potongan perbualan saya dengan pekerja terbabit.
Umi : Datang sorang ja? Mana itu temannya?
Saya : Ha’ah sorang je arini. Dia ada kerja.
Umi : Nak makan apa arini?
Saya : Nasi lemak jela Umi.
Umi : Piro? Siji? Loro? Telu? Papat? (dia ketawa)
Saya : Siji. (saya tersenyum dengan gurauannya)

ULASAN :
Pada pendapat saya mengenai situasi ini, saya amat berbangga dengan pekerja terbabit yang pandai bergaul dengan para pelanggannya yang diumpama seperti anak sendiri. Situasi ini saya lihat amat berbeza dengan pekerja yang berasal dari negara ini. Kebanyakan pekerja di sini amat sombong dan tidak pandai mengambil hati para pelanggan. Pekerja terbabit mudah rapat dengan sesiapa sahaja walaupun baru mengenali hanya beberapa kali. Saya sendiri tidak selalu datang ke kedai terbabit, namun dia masih mengingati saya berasal dari negeri Johor dan berketurunan Jawa. Itulah sebabnya dia cuba bertutur bahasa Jawa dengan saya. Di sini barulah saya melihat pekerja seperti Umi patut dijadikan ikon kempen “Bahasa Jiwa Bangsa”


:: Situasi 20 : Penggunaan Okey Oleh Bakal Guru ::


SITUASI :
Setelah beberapa minggu tugasan pengajaran mikro dilaksanakan, saya melihat penggunaan istilah ‘okey’ masih sukar di hapuskan daripada kalangan bakal guru bahasa Melayu termasuklah diri saya sendiri. Rakan saya sendiri ada mengira jumlah kekerapan seseorang pelajar menggunakan istilah ‘okey’ semasa melaksanakan pengajaran mikro dan keputusan yang diperolehi, seorang pelajar menggunakan tidak kurang daripada dua puluh istilah ‘okey’ sepanjang lapan hingga sepuluh minit pengajaran mikro berlangsung. Walaupun telah ditegur beberapa kali, namun penggunaan istilah ‘okey’ tetap berlaku.

ULASAN :
Seorang guru bahasa Melayu haruslah menggantikan penggunaan istilah ‘okey’ dengan istilah ‘baik’ atau ‘baiklah’. Penggunaan ini sering berlaku semasa penghabisan sesuatu ayat atau situasi dan beralih kepada ayat atau situasi yang lain. Saya melihat penggunaan istilah ‘okey’ ini amat sukar dielakkan dan dilihat sudah sebati dalam komunikasi para pelajar malah dikalangan pensyarah bahasa Melayu sendiri turut menggunakannya. Perkara sebegini perlulah dielakkan tertutamanya kepada guru bahasa Melayu sendiri kerana secara tidak langsung ia akan memberi impak yang tidak baik kepada pengajaran bahasa Melayu. Jika seorang guru bahasa Melayu sewenang-wenangnya menggunakan istilah yang salah, maka tidak hairanlah murid-murid di sekolah turut melakukan perkara yang sama.


:: Situasi 19 : Terbeser / Buang Air Kecil ::


SITUASI :
Hari ini saya menyertai aktiviti konvoi amal bersama ahli Kelab Pemilik Perodua Viva Malaysia ke negeri Melaka. Ahli yang menyertai konvoi terbabit datang dari merata negeri antaranya Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan ada juga ahli yang datang dari Singapura. Suasana ketika berkumpul amat seronok kerana saya dapat mendengar pelbagai dialek negeri yang dituturkan oleh peserta konvoi. Dialek yang paling ketara dalam perbualan antara peserta ialah dialek Negeri Sembilan kerana majoriti ahli yang terlibat berasal dari Negeri Sembilan. Sebelum memulakan perjalanan, kami diberi taklimat oleh ketua konvoi yang berasal dari Negeri Sembilan. Saya mendengar taklimatnya dengan teliti yang masih menggunakan bahasa standard, namun kadangkala diselang-selikan dengan dialek Negeri Sembilan. Berikut merupakan antara kata-kata yang diselitkan dengan dialek Negeri Sembilan :
“selepas ni kita akan berhenti di stesyen minyak berdekatan untuk mengisi minyak. Ha sapo-sapo nak terbeser bolehla poei bereskan.”
Ayat tersebut telah menimbulkan persoalan daripada ahli dari Singapura yang tidak pernah mendengar istilah terbeser.
terbeser tu apa?”
Ahli lain yang memahami maksud perkataan tersebut terus menerangkan bahawa perkataan terbeser bermakna buang air kecil.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya sendiri melihat bahawa kepelbagaian dialek daerah atau negeri sebenarnya membawa satu keindahan. Apabila individu yang berlainan negeri berjumpa dan berbual, maka mereka akan didedahkan kepada beberapa istilah yang tidak difahami di antara mereka. Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli, malah dapat memperluaskan pengetahuan bahasa seseorang individu. Seperti contoh istilah yang saya berikan di atas, mungkin bukan rakyat Singapura sahaja yang tidak mengetahui makna perkataan tersebut, tetapi ada juga individu dari negeri lain yang masih tidak mengetahuinya. Apabila kita selalu melibatkan diri dalam aktiviti yang sedemikian, maka kamus minda kita akan bertambah secara tidak langsung malah ia akan memberikan kebaikan kepada kita apabila ditempatkan di negeri orang.

:: Situasi 18 : Khalwat Dulu Dan Khalwat Kini ::


SITUASI :
Hari ini saya membaca sebuah buku yang mengisahkan perjuangan Rasulullah S.A.W semasa hidupnya. Perkara yang menarik perhatian saya dan ada kaitannya dengan situasi bahasa ialah berkenaan penggunaan istlah khalwat yang terdapat di dalam buku tersebut. berikut merupakan potongan ayat yang saya ambil untuk dikongsikan bersama :
“Rasulullah S.A.W gemar berkhalwat di dalam gua untuk mencari ketenangan dan hidayah. Ada kalanya mukjizat turun saat baginda sedang bersendirian.”
Saya ambil pula keratin akhbar yang bertajuk “pelajar IPTA ditangkap khalwat”
“sepasang kekasih yang dipercayai masih menuntut di institut pengajian tinggi awam di ibu negara telah ditangkap khalwat dalam satu serbuan di hotel mewah bersempena operasi cegah maksiat pada hari kekasih semalam.”
Cuba kita lihat persamaan dan perbezaan perkataan khalwat pada pernyataan di dalam buku dan laporan akhbar di atas.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya tertarik untuk membincangkan istilah khalwat yang popular pada masa dahulu dengan istilah khalwat yang popular pada hari ini. Jika kita merujuk pada Kamus Dewan, perkataan khalwat sememangnya memberi dua makna. Makna perkataan khalwat yang pertama merujuk perihal (perbuatan) mengasingkan atau memencilkan diri (kerana menenangkan fikiran, bertafakur, dll) manakala makna lain merujuk pengasingan diri berdua-duaan di tempat yang terpencil atau tersembunyi, oleh lelaki dan perempuan yg bukan muhrim dan bukan pula suami isteri (sehingga dapat dianggap sebagai suatu perbuatan yang sumbang). Berdasarkan huraian berikut kita dapat lihat persamaan yang ada pada kedua-dua situasi ialah kedua-duanya mengasingkan diri di tempat yang sunyi dan perbezaannya pula ialah perkara yang dilakukan sama ada mencari ketenangan dan beribadat ataupun melakukan perkara maksiat. Jika kita lihat pada konteks hari ini, apabila disebut sahaja perkataan berkhalwat, maka pandangan masyarakat akan terus kepada makna yang kedua iaitu melakukan  perbuatan maksiat. Inilah perbezaan jelas yang berlaku pada bahasa menurut peredaran zaman.

:: Situasi 17 : Bahasa Pijin ::



SITUASI :
Hari ini saya pergi ke bengkel membaiki kereta kerana mengalami masalah gelongan pada rim kereta yang agak teruk. Apabila tiba di bengkel berkenaan, saya mendapati pekerjanya ada yang berbangsa India dan Cina. Memandangkan saya datang ke bengkel berkenaan pada awal pagi, maka tiada kenderaan lain sedang dibaiki. Kedua-dua pekerja Cina Dan India tersebut datang kepada saya dan bertanyakan masalah yang saya hadapi. Berdasarkan pengamatan saya, pekerja berbangsa India merupakan pekerja baharu manakala pekarja berbangsa Cina merupakan pekerja senior yang dijadikan individu rujukan sekiranya berlaku sebarang masalah pada kenderaan pelanggan. Berikut merupakan perbualan kami apabila saya tiba di bengkel berkenaan :
Pekerja india : Bos, apa problem?
Saya : Ini kereta jalan tak sedapla. Sterang banyak goyang kalau bawa laju.
Pekerja cina : You ada langgar lubang ka?
Saya : Mungkinla. Cubala you tengok apa masalah.
Pekerja cina : Okey kasi saya tengok dulu. Raju, kasi masuk ini kereta.
Selepas itu pekerja cina terbabit mengarahkan pekerja india melakukan beberapa pemeriksaan pada kereta saya.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kita dapat lihat tiga individu yang berbeza bangsa bertutur menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Melayu namun terdapat beberapa perkataan yang dituturkan seperti disesuaikan untuk saling memahamkan ketiga-tiga pihak yang terlibat. Situasi bahasa berikut merupakan salah satu situasi yang dinamakan pertuturan menggunakan bahasa Pijin. Bahasa Pijin ialah bahasa Melayu yang selalu digunakan untuk bertutur di antara individu berlainan bangsa. Selalunya situasi bahasa sebegini akan terjadi jika salah seorang yang sedang berbual merupakan bangsa yang berlainan. Contohnya perkataan ‘berapa’ akan bertukar menjadi perkataan ‘belapa’ dan beberapa lagi perkataan yang lain.