CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!

Jumaat, 18 Mac 2011

:: Situasi 40 : Satu Perkataan Disebut Seluruh Dunia ::


SITUASI :
Awal pagi semalam saya menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara di antara pasukan Real Madrid dan pasukan Lyon. Perlawanan yang sangat menghuburkan itu berakhir dengan kemenangan tiga gol berbalas kosong di pihak pasukan Real Madrid. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah berkenaan sorakan para penonton apabila pemain menjaringkan gol. Di tempat saya menyaksikan perlawanan tersebut, terdapat pelbagai bangsa yang turut sama menyaksikan dan bersorak. Apabila pemain menjaringkan gol, semuanya bersorak satu perkataan yang sama iaitu ‘gol’. Teringat pula kata-kata seorang pengulas sukan suatu ketika dahulu :
“Sebenarnya sukan bola sepak ini menyatukan semua penonton. Ini kerana apabila pasukan mereka mendapat gol, mereka akan bersorak satu perkataan yang sama iaitu ‘gol’. Tidak kiralah Mat Saleh dari Amerika, Negro dari Afrika, Pak Arab dari Mesir, dan lain-lain lagi”



ULASAN :
Pada pendapat saya, sukan sememangnya salah satu unit penghubung di antara para penontonnya. Kita dapat lihat mereka akan sama-sama bersorak walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Namun apabila mereka berada di dalam satu kelompok yang sama, mereka ibarat seperti sebuah keluarga. Berkenaan perkataan ‘gol’ yang saya nyatakan di atas, saya menyokong kenyataan pengulas sukan terbabit. Saya sendiri pernah menyaksikan perlawanan bola sepak secara dalam talian melalui komputer riba. Walaupun pengulas perlawanan ketika itu mengulas dalam bahasa Arab, namun apabila ada pemain yang menjaringkan gol, perkataan yang sama disebut turut sama dan tetap berbunyi ‘gol’. Ini juga berlaku apabila menonton perlawanan bola sepak secara dalam talian di saluran berbahasa Cina. Pengulasnya turut menyebut ‘gol’ apabila gol dapat dijaringkan walaupun sebelum itu dia berbahasa Cina sepenuhnya. Saya merasakan perkara ini sangat menarik jika dikaji dengan lebih mendalam.


Mohammad Yusop








Rabu, 16 Mac 2011

:: Situasi 39 : Goreng Pisang Atau Pisang Goreng? ::


SITUASI :
Hari ini saya menghadiri kelas EDU di Taman Bernam berbekalkan sebungkus pisang goreng yang amat sedap. Memandangkan pensyarah belum tiba, saya menjamu pisang goreng tersebut kapada rakan-rakan yang telah tiba. Semasa menjamu selera pisang goreng yang masih panas itu, seorang rakan dengan bersahaja memuji kesedapan pisang goreng yang saya beli tadi. Berikut merupakan pujian yang dilontarkan oleh rakan saya :
“Uih sedap la goreng pisang ni. Hang beli kat mana?”
Tiba-tiba rakan yang lain terus menjawab “oi pisang goreng la, bukan goreng pisang!”




                                                pisang goreng





                                                                        goreng pisang



ULASAN :
Berdasarkan pada situasi di atas, saya melihat perkara yang sinonim dengan kehidupan kita sememangnya amat sukar dipisahkan. Sebagai contoh, ia melibatkan penyebutan perkataan seperti pada situasi di atas. Walaupun rakan saya merupakan pelajar program pendidikan bahasa Melayu, namun dia masih belum dapat membiasakan diri dengan peraturan tatabahasa yang betul. Perkara ini sebenarnya berkenaan hukum D-M iaitu diterangkan dan menerangkan. Jika kita menyebut goreng pisang, ini bermakna perbuatan menggoreng pisang sedang dilakukan. Jika kita menyebut pisang goreng, ia bermaksud pisang yang telah digoreng. Situasi sebegini bukan sahaja berlaku dalam interaksi lisan, sebaliknya masih berlaku di dalam penggunaan papan-papan iklan oleh peniaga yang tidak peka kepada penggunaan bahasa Melayu yang tepat. Saya masih ingat beberapa kedai di kampong masih menggunakan papan iklas yang tertulis “Goreng Pisang Panas”,”Goreng Pisang Sedap”, “Goreng Pisang Pak Man” dan macam-macam lagi. Semuanya masih tidak memahami hakikat hukum D-M yang terdapat pada bahasa Melayu.

Mohammad Yusop


:: Situasi 38 : Ceklat Atau Gula-Gula? ::


SITUASI :
Minggu ini merupakan minggu yang paling sibuk dan padat dengan pelbagai kerja yang tertangguh memandangkan semua tugasan harus dihantar pada minggu ini ataupun minggu hadapan. Semasa di dalam kelas, saya melihat  rata-rata rakan yang lain mengalami keletihan kerana tidak cukup tidur akibat berjaga malam menyiapkan segala tugasan yang mesti dihantar. Semasa sesi pembelajaran sedang berlangsung, rakan saya  yang duduk di belakang bertanya saya sama ada saya mempunyai gula-gula atau tidak untuk menghilangkan ngantok. Berikut merupakan pertanyaanya kepada saya :
“Wei San, mu ade ceklat tak? Ngantok mata aku ni”
Saya teringat ketika kali pertama mendengar perkataan ceklat daripada seorang rakan yang berasal dari negeri Kedah. Pada masa itu saya agak bingung kerana jarang sekali saya membawa coklat datang ke kelas dan memikirkan apa motifnya tiba-tiba bertanya sama ada saya mempunyai coklat atau tidak. Rupa-rupanya coklat yang dimaksudkan merujuk kepada gula-gula.




                                                                        coklat



                                                                          gula-gula



ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kita dapat lihat kekeliruan yang berlaku daripada penggunaan perkataan yang biasanya kita rujuk pada suatu benda yang tertentu, namun digunakan oleh rakan untuk merujuk makna yang berlainan. Apabila berkata tentang coklat, sudah pasti kita akan membayangkan coklat yang enak berjenama Cadbury, Van Hauten, Ferero Rosher dan sebagainya. Oleh itu, jarang sekali kita membawa coklat yang berkenaan datang ke kelas. Rupanya terdapat makna sebaliknya berdasarkan perkataan coklat terbabit. Setelah diteliti, saya dapat mengesan perkataan coklat yang merujuk makna gula-gula hanya digunakan oleh individu yang berasal dari negeri bahagian utara dan bahagian pantai timur semenanjung Malaysia. Selain itu, ada juga perkataan lain yang berlaku keadaan seperti situasi di atas antaranya perkataan timun yang digunakan merujuk buah tembikai yang digunakan oleh orang pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Mohammad Yusop


:: Situasi 37 : Sikap Tidak Serius Membawa Padah ::


SITUASI :
Hari ini bermulanya pembentangan tugasan individu kursus Semantik dan Pragmatik yang diajar oleh pensyarah yang sangat berpengalaman dalam subjek berkenaan. Pensyarah berkenaan telah meminta saya meneruskan pembentangan di dalam kelas menggunakan kaedah rakaman kerana beliau terpaksa keluar menilai pelajar yang sedang berpraktikum. Tiba giliran seorang pelajar yang dilihat sering tidak serius di dalam melaksanakan pelbagai perkara termasuklah pembentangan yang dilakukannya pada hari ini. Semasa pelajar terbabit membentang, terdapat soalan yang dikemukakan oleh rakan sekelas kerana terdapat kekeliruan pada bahan pembentangannya. Akibat daripada sikapnya yang kurang serius di dalam banyak perkara, dia telah memberikan jawapan kepada pertanyaan tersebut dengan pernyataan di bawah :
“betul la ni aku ambik dalam buku. Kalau salah mesti sebab buku ni tak bagus”
Dia telah terlepas mengeluarkan kenyataan tersebut secara bergurau dan tidak menyedari bahawa pembentangannya sedang dirakam. Akhirnya video rakaman pembentangannya terpaksa diedit dan dipotong bahagian yang berikut.



ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kita dapat lihat bahawa sikap sambil lewa dan tidak serius seringkali akan menyusahkan diri sendiri. Walaupun kata-kata yang dikeluarkan secara gurauan, namun jika diketahui oleh penulis buku terbabit, mungkin akan mengakibatkan pihak terbabit berasa marah ataupun kecil hati.  Berdasarkan situasi berkenaan, buku yang digunakan adalah tulisan pensyarah yang mengajar subjek itu sendiri. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dalam menuturkan kata-kata kerana kita perlu ingat pada satu bidalan yang berbunyi ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’.


Mohammad Yusop


:: Situasi 36 : Istilah Sukar ::

SITUASI :
Hari ini saya melakukan sedikit ulangkaji memandangkan giliran melakukan pembentangan bagi kursus Semantik dan Pragmatik akan dilaksanakan pada hari esok. Semasa membaca bab yang berkenaan dengan tajuk pembentangan saya di dalam sebuah buku yang dihasilkan oleh seorang pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, saya tiba-tiba berasa keliru dengan pelbagai istilah sukar yang digunakan bagi menerangkan sesuatu pernyataan atau contoh. Pernyataan sukar yang saya maksudkan adalah seperti berikut :
“substantiva”



ULASAN :     
Berdasarkan situasi di atas, saya secara peribadi ingin memberi pendapat berkenaan penggunaan ayat dan istilah berdasarkan buku berkenaan. Sebagai seorang pensyarah yang pakar dalam bidang berkenaan, sepatutnya beliau berperanan sebagai penyampai maklumat kepada para pembaca. Namun apa yang saya lihat daripada pembacaan dari buku berkenaan, maklumat yang cuba disampaikan kepada para pembaca seperti samar-samar dan ada sesetengahnya langsung tidak difahami maksud yang sebenar. Jika penulis hanya memberikan maklumat berdasarkan kefahamannya sahaja, maka buku tersebut sepatutnya tidak perlu dijual dan disimpan untuk rujukannya sahaja. Tujuan sebenar sesebuah buku rujukan ditulis adalah untuk menyampaikan maklumat dengan mudah dan memberi kefahaman kepada pembaca. Oleh itu, para penulis haruslah peka dengan situasi sebegini agar pembaca tidak celaru ketika membaca buku yang dihasilkannya.

Mohammad Yusop


:: Situasi 35 : Pukul Berapa Atau Jam Berapa? ::

SITUASI :
Hari ini saya menghadiri kelas Karya Agung seperti biasa yang diajar oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Semasa sesi pembelajaran sudah tiba ke penghujungnya, seorang rakan saya bertanya waktu ketika itu menunjukkan jam berapa. Berikut merupakan soalan yang ditujukan kepada saya :
Rakan : Dah pukul berapa sekarang ni?
Saya : Dah 12.45.
Pada masa itu, rakan saya yang duduk di bahagian belakang menegur perbualan kami.
Rakan II : Bukan pukul berapa, jam berapa.



ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya percaya kebanyakan di antara kita masih menggunakan istilah yang sama untuk merujuk waktu. Sebenarnya perkataan tersebut tidak salah digunakan untuk merujuk waktu. Berdasarkan Kamus Dewan, perkataan pukul juga bermaksud ‘bahagian daripada sesuatu hari seperti yang ditunjukkan oleh jam, waktu tertentu dalam sesuatu hari’. Perkataan pukul tersebut tidak hanya merujuk ketuk dan sebagainya, sebaliknya kita perlulah melihat perkataan pukul tersebut dalam konteks makna yang lain seperti yang tercatat di dalam Kamus Dewan.



Mohammad Yusop


:: Situasi 34 : Kata Hubung Gabungan Dan Dan Tetapi. ::


SITUASI :
Hari ini berlangsung pembentangan berkumpulan kursus Sosiolinguistik yang kesemuanya membincangkan tentang peranan bahasa sama ada kepada masyarakat, bahasa kebangsaan, bahasa kehakiman dan lain-lain lagi. Semasa berlangsung pembentangan, saya dapat melihat beberapa orang pelajar masih tidak dapat menggunakan kata hubung gabungan dengan tepat di dalam pertuturannya. Sebagai contoh, saya ambil ayat yang berikut :
“dan yang paling penting bahasa Melayu adalah sebagai bahasa perpaduan”
Ayat ini diujarkan setelah ayat yang sebelumnya ditamatkan. Ini bermakna pelajar terbabit memulakan ayat dengan menggunakan kata hubung gabungan dan pada awal ayatnya.

ULASAN :
Kata hubung gabungan dan dan tetapi sepatutnya hanya digunakan di bahagian tengah frasa atau ayat. Ia berfungsi sebagai penghubung di antara satu premis ayat dengan premis ayat yang satu lagi. Kita sedia maklum, kesalahan ini sukar dikesan pada penulisan. Berdasarkan situasi di atas, ia berlaku di dalam situasi lisan iaitu semasa pembentangn berlangsung. Berdasarkan buku Semantik Pragmatik hasil tulisan Abdullah Yusof, kata hubung gabungan dan dan tetapi ada digunakan pada awal ayat seperti tertulis pada buku sejarah Melayu atau Sulalatussalatin. Di dalam bukunya, beliau membincangkan cara mengatasi masalah penyalahgunaan kata hubung gabungan ini iaitu penahu bahasa harus menukar teori ataupun pengguna bahasa sememangnya patut patuh pada undang-undang tatabahasa yang sedia ada.



Mohammad Yusop


:: Situasi 33 : Variasi Bahasa ::


SITUASI :
Hari ini pembentangan tugasan berkumpulan iaitu tugasan penghasilan video pendek sama ada berbentuk drama ataupun iklan pendek. Terdapat satu kumpulan yang mempersembahkan video yang menggunakan variasi bahasa.
Pelakon 1 : Mok, baju Suzi ni koyak. Mok tolong jaik. Suzi nak kuar.
Pelakon 2 : Mu nape cek? Aku tengok mu bising-bising habis kecoh so kampong.
Pelakon 3 : Ya buk, ngapain datang ke mari?
Berikut merupakan antara skrip perbualan di antara pelakon di dalam drama pendek bertajuk “Bertuah Punya Anak”. Apabila pensyarah meminta pendapat mengenai video berkenaan daripada rakan sekelas, seorang pelajar telah memberi komen bahawa video berkenaan tidak dapat difahami kerana bahasa yang digunakan amat sukar.

ULASAN :
Berkenaan video berkenaan, saya agak tidak bersetuju dengan komen yang diberikan oleh pelajar terbabit. Pada pendapat saya, kumpulan tersebut telah menunjukkan kelainan dari segi penggunaan bahasa yang pelbagai. Bukan mudah untuk seseorang itu menuturkan bahasa asing yang tidak pernah digunakan. Maka usaha yang dilakukan kumpulan terbabit sememangnya memberi kelainan dan patut diterima oleh pelajar yang lain kerana di universiti sendiri terdapat pelbagai golongan pelajar yang berasal dari negeri yang berlainan. Jadi mustahil jika kita sebagai seorang pelajar yang sudah lama bergaul dengan pelajar yang berlainan negeri masih tidak memahami bahasa yang dituturkan oleh pelakon di dalam video terbabit. Jika dilihat dalam konteks perguruan pula, pelajar terbabit mungkin akan mengalami masalah jika masih tidak dapat menerima bahasa yang menggunakan dialek negeri kerana pada masa hadapan seseorang bakal guru akan ditempatkan di merata negeri.

Mohammad Yusop


:: Situasi 32 : Nasi Beriyani gam ::


SITUASI :
Hari ini saya dan beberapa orang rakan yang lain telah berpakat untuk menghadiri Karnival Jom Heboh anjuran TV3 di Danga Bay, Johor. Sekembalinya dari karnival berkenaan, saya dan rakan-rakan memilih untuk menikmati keenakan nasi beriyani abah yang terletak di Bandar Baru Uda, Johor Bharu. Menurut apa yang diceritakan oleh abang saya, restoran ini menyediakan pelbagai jenis nasi beriyani dan maskannya semua enak. Saya mengambil keputusan untuk menikmati nasi beriyani gam burung puyuh kerana tidak pernah menikmatinya sebelum ini. Setelah menunggu beberapa ketika, pelayan restoran datang menghantar makanan yang dipesan. Berikut merupakan kata-kata yang dituturkan pelayan restoran terbabit :
“ha gam lembu sapa punya, gam kambing, gam puyuh” sambil tersenyum.
Salah seorang rakan saya telah bergurau dengan bertanyakan “gam gajah ada bang?”
Semua yang ada disitu tergelak termasuklah pelayan terbabit.



ULASAN :
Berdasarkan pada situasi di atas, saya dapat lihat para pelayan sangat pandai melayan pelanggan yang datang dan kadangkala layanannya juga buat kami terhibur dengan pertanyaan seperti ‘gam lembu, gam kambing dan gam puyuh’. Nasi beriyani gam sememangnya popular di negeri Johor terutamanya di daerah Batu Pahat. Mungkin masih ada di antara kita yang masih tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan nasi beriyani gam? Adakah nasi beriyani itu dicampur dengan gam? Sebenarnya apa yang yang diakatakan nasi beriyani gam ialah nasi beriyani yang dicampurkan sekali dengan lauk di dalamnya. Sebagai contoh, nasi beriyani gam kambing, lauk daging kambing akan diletakkan di dalam nasi menjadikan nasi terbabit lebih beraroma berbanding nasi beriyani biasa. Itulah sebenarnya nasi beriyani gam yang sering menjadi persoalan kepada sesetengah pihak.

Mohammad Yusop


:: Situasi 31 : Bela Atau Baik Pulih? ::


SITUASI :
Hari ini saya melawat keluarga pakcik di Segamat, Johor. Semasa di rumah pakcik, saya terdengar beberapa istilah yang agak mengelirukan yang dituturkan oleh pakcik kepada anak-anaknya. Salah satu perbualan yang ingin saya kongsi adalah berkenaan istilah ‘bela’. pada mulanya anak pakcik yang bernama Haziq baru pulang dari bengkel membaiki motosikal kerana motosikalnya menghadapi masalah pada enjin. Berikut merupakan perbualan antara pakcik dan anaknya :
Pakcik : kat mane ko bela motor tu?
Haziq : kat kedai angah depan tu je. Dah ok ni.
Saya agak tertanya-tanya di dalam hati berkenaan kesesuaian istilah bela yang dituturkan pakcik merujuk membaik pulih motosikal.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kemungkinan perkataan bela yang dituturkan oleh pakcik sering digunakan dalam kalangan keluarganya. Hal ini demikian kerana anaknya langsung tidak mengalami masalah untuk memahami soalan yang diutarakan oleh pakcik. Jika dilihat pada perkataan bela tersebut, saya tentunya membayangkan haiwan yang dibela ataupun barangan yang dijaga rapi dan kamus minda saya langsung tidak memikirkan bahawa perkataan bela itu merujuk makna membaik pulih. Berdasarkan Kamus Dewan, makna perkataan bela sememangnya merujuk memelihara sama ada haiwan ataupun memelihara harta benda. Saya juga tidak menemui makna perkataan bela merujuk membaik pulih. Saya dapat simpulkan di sini bahawa kemungkinan istilah tersebut telah digunakan secara turun temurun dan sudah sebati dengan keluarga pakcik.


Mohammad Yusop