CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!

Selasa, 18 Januari 2011

::Situasi 2: Kesedihan Dari Corong Radio::

Semasa memandu pulang dari kelas di Proton City dan menuju ke kampus utama, hati tersentuh apabila mendengar perbualan seorang pemanggil yang meluahkan kesedihannya di stesyen radio ERA. penyampai radio yang bertugas pada pagi ini ialah Aznil Haji Nawawi. Saya dapat lihat bagaimana pengalaman yang ada pada beliau untuk menenangkan pemanggil yang bernama Hana dengan menggunakan bahasa pujukan yang amat baik. Pemanggil tersebut telah meluahkan kesedihan yang melanda dirinya kerana ayahnya terlibat di dalam sebuah kemalangan di Port Dickson semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Kemalangan tersebut dikatakan berpunca daripada seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba. Panggilan dilakukan di sebelah ayahnya yang kini sedang terlantar di Hospital Kuala Lumpur dan masih koma sejak dimasukkan ke wad tiga hari lepas.
Terdapat dua perasaan yang terperasaan sedih kerana tiba-tiba terkenangkan ibu bapa di kampung yang bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan kami adik-beradik. Bapa saya merupakan seorang pesara tentera. Seperti yang diketahui pasukan tentera pada masa dahulu sangat mencabar dan pelbagai musibah boleh berlaku. Namun bersyukur kehadrat Ilahi kerana dia masih hidup sihat sehingga kini. 

Perasaan kedua yang lahir dalam diri adalah perasaan geram terhadap sikap pemilik ternakan yang membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran sehingga mengakibatkan kecelakaan jalan raya. Di sini jelas dapat dilihat bahawa sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab telah menyusahkan orang lain sehingga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak bersalah.
Seekor lembu boleh diperoleh dengan harga sekitar RM3000 ke RM5000, namun nyawa manusia tiada nilainya. Sama-samalah kita fikirkanbit dalam diri ketika itu. Perasaan pertama yang terbit ialah .

Isnin, 17 Januari 2011

::Situasi 1: Permulaan Kuliah Minggu Ke-3 ::

Seperti minggu lepas, kelas pertama setiap minggu adalah kelas Modal Insan yang diajar oleh Dr. Azhar Bin Wahid. Hari ini beliau menekankan lagi tentang konsep modal insan dalam konteks kami sebagai bakal guru. Menurut pendapat seorang pelajar, guru bukan hanya sebagai pendidik tetapi hari ini guru ibarat seorang artis yang patut menjadi ikon kepada pelajar-pelajarnya dengan menunjukkan contoh dan personaliti yang baik dan menarik. Dr telah mempersetujui pendapat pelajar tersebut dan mengakui bahawa guru pada hari ini tidak lagi seperti guru pada masa dahulu yang dianggap sebagai ibubapa dan amat dihormati oleh para pelajar.

Dr. Azhar juga membincangkan mengenai konsep modal insan secara meluas. Antara contoh yang diambil adalah seperti sikap kita membuang sampah sama ada dibuang secara betul ke dalam tong sampah atau hanya dicampak sahaja tanpa memastikan sampah betul-betul masuk ke dalam tong sampah. Contoh lain yang diambil adalah sikap pemandu yang gemar melakukan kesalahan lalulintas seperti memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had laju. Sikap yang buruk seperti contoh yang diberikan inilah menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai ciri modal insan.

::Latar Belakang Keluarga::

Saya dilahirkan dalam keluarga yang agak besar. Saya merupakan anak ke sepuluh daripada sepuluh orang adik beradik. Namun seorang kakak dan abang saya telah kembali ke rahmatullah seawal umur 3 bulan dan satu tahun. Jadi yang masih menghirup udara di bumi Allah ini hanyalah tinggal lapan orang dan kesemua abang dan kakak saya telahpun berumahtangga. Bapa saya bernama Mohammad Yusop Bin Abdan dan kini berumur  69 tahun. Beliau dilahirkan di Sungai Rambai, Melaka. Beliau pada mulanya merupakan seorang guru. Namun akibat daripada kekacauan komunis pada masa itu beserta semangat patriotik yang ada di dalam dirinya, maka beliau telah menyertai pasukan tentera Malaysia untuk sama-sama memerangi penjajah. Maka tidak hairanlah bapa berwatakan bengis dan garang kerana mungkin terbawa-bawa tugasnya sebagai tentera. Namun dengan kebengisan beliaulah, kini kami adik beradik berada pada tahap yang boleh dikatakan selesa. Beliau telah tamat berkhidmat  dengan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1986 dengan pangkat terakhirnya ialah sarjan. Kini beliau aktif di dalam Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan sedang menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera kawasan Simpang Renggam disamping menjadi ahli jawatan kuasa tertinggi  Persatuan Bekas Tentera Negeri Johor. Baru-baru ini beliau dianugerahi Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada karajaan Malaysia di atas sumbangannya terhadap negara.
Ibu pula bernama Asmah Binti Saip yang kini berumur  61 tahun. Ibu dilahirkan di Mersing, Johor dan dibesarkan dalam keluarga nelayan. Perkara yang menyedihkan tentangnya, beliau langsung tidak dapat mengetahui bagaimana rupa ibu yang melahirkannya kerana arwah nenek meninggal sewaktu melahirkan ibu. Tiada sebarang foto arwah nenek yang dapat ditatap oleh ibu kerana pada waktu itu keluarga datuk amat daif dan tidak mampu untuk memiliki sebarang alat perakam. Namun menurut datuk, wajah ibu sekarang memang seiras rupa arwah nenek. Ibu hanyalah suri rumah tangga sepenuh masa, namun pernah juga bekerja di ladang sewaktu bapa saya berkhidamat sebagai tentera di Sarawak. Ibu ketika itu mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga  dan cuba membantu mencari pendapatan lebih kerana pendapatan bapa sebagai tentera ketika itu amat kecil dan jauh berbeza dengan pendapatan tentera pada masa kini. Saya sungguh bangga mempunyai seorang ibu seperti beliau yang begitu kuat mengharungi sebarang onak duri dalam kehidupan.
Seterusnya mengenai adik-beradik saya. Saya akan menceritakan serba sedikit berkenaan adik beradik kerana jika saya ingin menceritakan seorang demi seorang secara terperinci mungkin akan melibatkan lebih daripada 5 halaman pada blog ini. Saya mempunyai dua orang kakak dan lima orang abang. kesemuanya telah berumahtangga dan bekerja. Ada diantaranya yang menjadi guru, ahli perniagaan, penolong pengurus, jurutera PETRONAS, pegawai pelancongan, penasihat servis PROTON, dan pembantu tadbir di Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman. Pada masa ini saya telahpun bergelar pakcik kerana saya sudah mempunyai 19 orang anak saudara.
Saya rasa cukup setakat ini berkenaan latar belakang diri dan ahli keluarga. Terima kasih kerana sudi melawati dan membaca ‘Pemerhati Sejagat’.

::Biodata Pengarang Blog 'Pemerhati Sejagat'::

Nama sebenar saya ialah Norehsan Arif Bin Mohammad Yusop dan selesa dengan panggilan ‘Ehsan’ dikalangan rakan-rakan, serta panggilan ‘Arif’ dalam kalangan ahli keluarga. Di dalam bidang penulisan, seperti penulisan sajak, puisi dan sebagainya, saya sering menggunakan nama pena ‘Nur 30’ ataupun ‘Abi Insyirah’. Saya dilahirkan pada 20 November 1988 di Hospital Kluang, Johor.

Mendapat pendidikan awal di Tabika Kemas Kampong Chokro, Simpang Renggam, Johor iaitu di kampung halaman saya sendiri. Seterusnya mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, Johor dari tahun 1995 hingga tahun 2000 dan dalam masa yang sama turut mendapat pendidikan fardhu ain di kelas kafa Balai Raya Batu Tujuh, Simpang Renggam selam dua tahun. Apabila tamat kelas kafa, pengajian sekolah agama diteruskan di Sekolah Agama Simpang Renggam dari tahun 1997 hingga tahun 2000. Apabila tamat tahun 6, saya telah meneruskan pendidikan sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam dan terpilih memasuki kelas Rancangan Khas Agama (RKA) sehingga tingkatan tiga dan tinggal di asrama harian sekolah tersebut. Pengajian agama diteruskan sehingga peringkat darjah khas di Sekolah Agama Kompleks Penghulu, Simpang Renggam dan memperoleh pangkat satu. Selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2004, saya masih meneruskan persekolahan di sekolah yang sama dalam aliran sains agama sehingga memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2005.

Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya meneruskan pelajaran ke tingkatan enam dalam aliran sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Haji Hassan Yunos, Renggam dari tahun 2006 hingga tahun 2007 sehingga memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Ketika itu subjek yang diambil ialah Pengajian Am, Bahasa Melayu, Ekonomi, Geografi dan Syariah.

Berbekalkan kelayakan daripada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, saya telah diterima untuk melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak dan memulakan pengajian pada bulan Julai 2008. Pada mulanya ingin mengambil subjek pendidikan islam sebagai subjek minor, namun fakulti telah menetapkan bahawa semua pelajar pendidikan bahasa Melayu diwajibkan mengambil subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek minor kerana mempunyai hubungan yang saling berkait di antara kedua-dua subjek tersebut. Sehingga blog ini di bina, saya masih di dalam tahun tiga dan masih berbaki satu tahun untuk melayakkan saya bergraduan sebagai seorang bakal guru bahasa Melayu.

::Permulaan Dalam Dunia Blog::

Assalamualaikum W.B.T...

Sebelum memulakan penulisan dan luahan idea di dalam blog yang tak seberapa ini, biarlah saya bercerita tentang latar belakang diri saya terlebih dahulu. Kata orang 'tak kenal maka tak cinta'. Oleh sebab yang demikian, saya akan menceritakan serba sedikit tentang diri saya supaya anda yang membaca blog ini boleh mengenali siapa saya sebagai insan yang kerdil di bumi Allah yang luas ini. Blog ini diwujudkan bertujuan membincangkan fenomena  dan penggunaan bahasa yang berlaku sekitar kehidupan saya. Namun ada juga beberapa bahagian yang saya selitkan adalah di luar bidang bahasa. Selain itu, blog ini juga merupakan salah satu syarat lulus kursus Sosiolinguistik BML3083 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu di bawah seliaan Dr. Siti Saniah. Oleh hal yang demikian, sebarang penulisan saya di dalam blog ini, saya akan cuba menggunakan peraturan bahasa yang betul supaya menepati ciri-ciri bahasa Melayu yang sebenar.