CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!

Isnin, 17 Januari 2011

::Latar Belakang Keluarga::

Saya dilahirkan dalam keluarga yang agak besar. Saya merupakan anak ke sepuluh daripada sepuluh orang adik beradik. Namun seorang kakak dan abang saya telah kembali ke rahmatullah seawal umur 3 bulan dan satu tahun. Jadi yang masih menghirup udara di bumi Allah ini hanyalah tinggal lapan orang dan kesemua abang dan kakak saya telahpun berumahtangga. Bapa saya bernama Mohammad Yusop Bin Abdan dan kini berumur  69 tahun. Beliau dilahirkan di Sungai Rambai, Melaka. Beliau pada mulanya merupakan seorang guru. Namun akibat daripada kekacauan komunis pada masa itu beserta semangat patriotik yang ada di dalam dirinya, maka beliau telah menyertai pasukan tentera Malaysia untuk sama-sama memerangi penjajah. Maka tidak hairanlah bapa berwatakan bengis dan garang kerana mungkin terbawa-bawa tugasnya sebagai tentera. Namun dengan kebengisan beliaulah, kini kami adik beradik berada pada tahap yang boleh dikatakan selesa. Beliau telah tamat berkhidmat  dengan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1986 dengan pangkat terakhirnya ialah sarjan. Kini beliau aktif di dalam Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan sedang menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera kawasan Simpang Renggam disamping menjadi ahli jawatan kuasa tertinggi  Persatuan Bekas Tentera Negeri Johor. Baru-baru ini beliau dianugerahi Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada karajaan Malaysia di atas sumbangannya terhadap negara.
Ibu pula bernama Asmah Binti Saip yang kini berumur  61 tahun. Ibu dilahirkan di Mersing, Johor dan dibesarkan dalam keluarga nelayan. Perkara yang menyedihkan tentangnya, beliau langsung tidak dapat mengetahui bagaimana rupa ibu yang melahirkannya kerana arwah nenek meninggal sewaktu melahirkan ibu. Tiada sebarang foto arwah nenek yang dapat ditatap oleh ibu kerana pada waktu itu keluarga datuk amat daif dan tidak mampu untuk memiliki sebarang alat perakam. Namun menurut datuk, wajah ibu sekarang memang seiras rupa arwah nenek. Ibu hanyalah suri rumah tangga sepenuh masa, namun pernah juga bekerja di ladang sewaktu bapa saya berkhidamat sebagai tentera di Sarawak. Ibu ketika itu mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga  dan cuba membantu mencari pendapatan lebih kerana pendapatan bapa sebagai tentera ketika itu amat kecil dan jauh berbeza dengan pendapatan tentera pada masa kini. Saya sungguh bangga mempunyai seorang ibu seperti beliau yang begitu kuat mengharungi sebarang onak duri dalam kehidupan.
Seterusnya mengenai adik-beradik saya. Saya akan menceritakan serba sedikit berkenaan adik beradik kerana jika saya ingin menceritakan seorang demi seorang secara terperinci mungkin akan melibatkan lebih daripada 5 halaman pada blog ini. Saya mempunyai dua orang kakak dan lima orang abang. kesemuanya telah berumahtangga dan bekerja. Ada diantaranya yang menjadi guru, ahli perniagaan, penolong pengurus, jurutera PETRONAS, pegawai pelancongan, penasihat servis PROTON, dan pembantu tadbir di Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman. Pada masa ini saya telahpun bergelar pakcik kerana saya sudah mempunyai 19 orang anak saudara.
Saya rasa cukup setakat ini berkenaan latar belakang diri dan ahli keluarga. Terima kasih kerana sudi melawati dan membaca ‘Pemerhati Sejagat’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan