CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!

Isnin, 31 Januari 2011

::Situasi 7: Apa maksud ngeteh?::

Semasa melalui sesi kuliah Sosiolinguistik pada 26 Januari 2011 di Proton City, beberapa orang pelajar telah dipanggil ke hadapan untuk menunjukkan lukisan yang dilukis serta menceritakan serba sedikit mengenai diri. Apabila tiba giliran seorang pelajar dari negeri Johor, dia telah menceritakan bahawa bapanya suka ‘ngeteh’ di warung. Ketika itu beberapa orang pelajar lain yang mendengar agak tertanya-tanya apakah maksud ‘ngeteh’ itu termasuklah daripada pensyarah sendiri. Pelajar tersebutpun menerangkan kepada kelas apa yang dimaksudkan dengan ‘ngeteh’.






ULASAN:
Perkataan ‘ngeteh’ sememangnya sinonim dengan penduduk kampung terutamanya golongan yang suka melepak dan minum di warung. Pada mulanya saya menjangkakan perkataan itu telah diketahui oleh semua orang, namun selepas peristiwa tersebut baharulah saya mengetahui bahawa perkataan ‘ngeteh’ hanya sinonim dengan orang yang berasal dari negeri Johor. Ada juga individu dari negeri lain yang mengetahui tentang istilah ini, namun jumlahnya hanya sedikit dan kemungkinan individu tersebut juga bercampur dengan individu yang berasal dari negeri Johor. Berkenaan perkataan ‘ngeteh’, ia bukanlah bermaksud seseorang yang minum di warung atau kedai itu hanya meminum teh dan tidak makan, sebaliknya ia hanyalah istilah yang sinonim dengan minum ataupun makan di kedai. Individu tersebut bebas untuk makan dan minum apa sahaja dan tidak terikat dengan teh. Pada masa kini, saya melihat istilah tersebut terus digunakan oleh golongan muda mudi termasuklah diri saya sendiri. Rakan-rakan sekampung sering menggunakan istilah tersebut untuk mempelawa saya pergi minum atau makan di kedai terutamanya untuk menonton perlawanan bolasepak secara langsung di televisyen.

::Situasi 6: Ojol, lantun?::

Ketika pulang dari kuliah di Proton City, saya dan rakan telah mendengar berita dari corong radio yang mengatakan bahawa harga getah kini melambung hingga mencapai RM6.00 bagi satu kilogram. Kami pun terus berbual tentang getah kerana bapa saya dan bapa rakan merupakan seorang penoreh getah sambilan. Rakan saya telah menggunakan istilah ‘lantun’ bagi menggambarkan susu getah yang telah dibekukan. Namun, saya pula menggunakan istilah ‘ojol’ yang selalu disebut oleh keluarga. Kami sama-sama terpinga-pinga mendengar istilah yang keluar dari mulut masing-masing dan berakhir dengan ketawa.


ULASAN:
Saya yakin bahawa ramai di antara pembaca juga tidak mengetahui istilah yang kami gunakan seperti catatan di atas. Berkenaan istilah ‘ojol’ yang saya gunakan, ia sememangnya dirujuk kepada susu getah yang telah dibekukan. Perkataan ini biasa digunakan oleh individu yang berketurunan jawa seperti keluarga saya. Namun berkenaan istilah ‘lantun’, saya masih tidak mengetahui asal perkataan tersebut. Ini kerana rakan saya berketurunan Melayu di pihak ibu dan terdapat salah silah keturunan Cina bagi pihak ayahnya. Saya yakin bahawa masyarakat Melayu sendiri ramai yang tidak mengetahui istilah ‘lantun’ tersebut. Pada mulanya saya sendiri menyangkakan bahawa ‘lantun’ itu bermaksud biji getah. Tetapi setelah diterangkan oleh rakan, ‘lantun’ itu adalah benda yang sama seperti ‘ojol’ yang saya ujarkan. Saya masih teringat satu peristiwa lucu dimana anak saudara saya yang ketika itu bersekolah di tahun tiga, gurunya telah bertanya kepada anak saudara saya, barang apa yang boleh dihasilkan daripada getah dan anak saudara saya dengan spontan menjawab ‘ojol’. Guru itu juga tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan ‘ojol’ sehinggalah dia bertanya kepada kakak saya sewaktu kakak saya mengambil kad penyata anaknya.

::Situasi 5: Tarik pelanggan atau timbulkan kemarahan?::


Pada 22 Januari 2011, sekembalinya saya dari perpustakaan Negara Malaysia, saya dan rakan telah ke Kolej Za’ba di Proton City untuk melihat hari terbuka kolej berkenaan. Semasa melalui beberapa deretan gerai menjual makanan, seorang penjual telah menjerit utuk menarik pelanggan membeli makanan di gerainya. Antara kata-kata yang keluar daripada mulut penjual itu ialah :
“Tu tengok-tengok buat apa. Tengok je tak kenyang”
Apa yang saya perhatikan, seorang daripada orang ramai yang lalu di situ agak marah dan menjawab dengan suara yang agak kuat dan mukanya juga agak serius:
“Memangla tengok je tak kenyang!!”

ULASAN :
Dalam kejadian sebegini, pihak peniaga haruslah bijak menggunakan kata-kata yang sesuai untuk menarik para pelanggan. Seperti kejadian di atas, saya melihat peniaga tersebut mungkin dengan niat hanya untuk berseloroh dan menggamatkan suasana yang sememangnya meriah ketika itu, namun ia telah disalahertikan oleh seorang lelaki yang mungkin menganggap peniaga itu menyindir beliau yang hanya melihat makanan tersebut. Kita sebagai manusia sedia maklum bahawa semua individu mempunyai “rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain”. Itulah ungkapan yang sering digunakan untuk menyatakan bahawa hati dan fikiran seseorang tidak boleh dibaca oleh orang lain. Oleh itu, kita haruslah sentiasa berwaspada tatkala mengeluarkan ujaran atau kata-kata walaupun dengan rakan baik sendiri. Hal ini demikian kerana kita mungkin menganggap sesuatu ujaran atau kata-kata itu hanya sebagai gurauan, namun orang lain yang menerimanya mungkin menganggap ujaran itu serius dari mulut kita.

::Situasi 4: Penggunaan bahasa yang menjengkelkan::

Pada 22 Januari 2001, saya bersama seorang rakan telah ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk mencari bahan rujukan bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah terutamanya yang berkaitan subjek Sosiolinguistik dan Semantik Pragmatik. Bagi menghilangkan rasa bosan ketika memandu, saya telah menghidupkan radio dan ketika itu stesyen radio yang sedang bersiaran adalah sebuah stesyen radio yang agak popular. Segmen yang sedang berlangsung di stesyen radio tersebut ketika itu ialah segmen wawancara bersama seorang artis yang sedang meningkat popularitinya untuk ditemubual berkenaan pelancaran album terbarunya. Namun apa yang saya kesalkan di sini ialah penggunaan bahasa rojak yang amat ketara daripada artis tersebut. Antara perbualan yang masih saya ingat ialah :


Penyampai radio: Bagaimana cara awak turunkan berat badan secara mendadak?
Artis : Pada saya itu sangat senang. Saya perlu pandai manage pemakanan and disiplin untuk beriadah.


ULASAN:
Saya bukanlah berniat untuk memburukkan individu seorang artis atau berprasangka buruk terhadapnya, namun perkara sebegini harus dipandang serius kerana masalah bahasa rojak ini terus berleluasa. Kita boleh lihat bagaimana seorang artis yang boleh dikatakan ikon kepada masyarakat telah menyalahgunakan bahasa ibunda sendiri. Jika jumlah perkataan luar yang digunakan dalam kadar yang sedikit, mungkin ia dianggap tidak sengaja. Namun dalam wawancara tersebut hampir 50% bahasa yang digunakan dicampur dengan tanpa rasa bersalah. Jika kita melihat pada latarbelakang kehidupannya pula, artis tersebut sememangnya etnik Melayu yang sepatutnya mengagongkan Bahasa Melayu. Di  sini timbul satu persoalan bahawa, adakah seseorang yang bergelar artis dan telah mengecap populariti dengan sewenang-wenangnya boleh menggunakan bahasa rojak? Tidak semua artis termasuk di dalam kelompok ini, tetapi hampir sejumlah besar daripadanya.

::Situasi 3: Jelatah atau jelantah?::

Pada 21 Januari 2011 iaitu hari Jumaat, telah diadakan satu majlis ilmu bersama tokoh Bahasa yang agak ternama iaitu Profesor Dr. Awang Sariyan. Saya selaku pembantu ahli jawatankuasa makanan telah memastikan segala persiapan jamuan untuk para pelajar telah disiapkan. Selepas program berakhir, saya dan seorang rakan berbual tentang nasi yang disediakan hari ini tidak masak dan masih ada yang keras. Saya dan rakan yang sememangnya berasal dari negeri Johor sudah biasa dengan keadaan sebegitu yang dipanggil nasi jelantah. Namun apabila seorang pelajar kelahiran Perak mendengar perbualan kami, dia berasa hairan kerana pertama kali mendengar istilah berikut dan menyatakan dia hanya mengetahui jelatah ialah sejenis lauk yang diperbuat daripada timun, bawang, lada ,nanas dan sebagainya. Kami menegaskan kepada rakan tersebt bahawa jelatah dan jelantah membawa makna yang berbeza.
ULASAN:
Perkara sebegini berlaku mungkin disebabkan oleh perbezaan daerah dan tempat tinggal antara dua individu yang berbeza. Kita tidak boleh mempertikaikan jika seseorang itu tidak mengetahui perkataan yang kita sebutkan. Terdapat beberapa  kemungkinan yang menyebabkan orang lain tidak mengetahui makna perkataan yang kita tuturkan antaranya ialah perkataan yang kita sebutkan mungkin tidak tercatatpun di dalam Kamus Dewan, sebaliknya ia hanya digunakan oleh sesuatu kelompok masyarakat contohnya masyarakat Jawa, Bugis dan sebagainya. Dalam masalah perkataan jelatah dan jelantah di atas, kemungkinan perkataan jelantah yang menggambarkan nasi yang tidak masak hanyalah digunakan oleh masyarakat di negeri Johor memandangkan saya dan seorang rakan yang berbual berasal dari negeri Johor dan apabila diajukan perkataan tersebut kepada rakan yang berasal dari negeri lain, mereka juga tidak mengetahuinya.

Selasa, 18 Januari 2011

::Situasi 2: Kesedihan Dari Corong Radio::

Semasa memandu pulang dari kelas di Proton City dan menuju ke kampus utama, hati tersentuh apabila mendengar perbualan seorang pemanggil yang meluahkan kesedihannya di stesyen radio ERA. penyampai radio yang bertugas pada pagi ini ialah Aznil Haji Nawawi. Saya dapat lihat bagaimana pengalaman yang ada pada beliau untuk menenangkan pemanggil yang bernama Hana dengan menggunakan bahasa pujukan yang amat baik. Pemanggil tersebut telah meluahkan kesedihan yang melanda dirinya kerana ayahnya terlibat di dalam sebuah kemalangan di Port Dickson semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Kemalangan tersebut dikatakan berpunca daripada seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba. Panggilan dilakukan di sebelah ayahnya yang kini sedang terlantar di Hospital Kuala Lumpur dan masih koma sejak dimasukkan ke wad tiga hari lepas.
Terdapat dua perasaan yang terperasaan sedih kerana tiba-tiba terkenangkan ibu bapa di kampung yang bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan kami adik-beradik. Bapa saya merupakan seorang pesara tentera. Seperti yang diketahui pasukan tentera pada masa dahulu sangat mencabar dan pelbagai musibah boleh berlaku. Namun bersyukur kehadrat Ilahi kerana dia masih hidup sihat sehingga kini. 

Perasaan kedua yang lahir dalam diri adalah perasaan geram terhadap sikap pemilik ternakan yang membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran sehingga mengakibatkan kecelakaan jalan raya. Di sini jelas dapat dilihat bahawa sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab telah menyusahkan orang lain sehingga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak bersalah.
Seekor lembu boleh diperoleh dengan harga sekitar RM3000 ke RM5000, namun nyawa manusia tiada nilainya. Sama-samalah kita fikirkanbit dalam diri ketika itu. Perasaan pertama yang terbit ialah .

Isnin, 17 Januari 2011

::Situasi 1: Permulaan Kuliah Minggu Ke-3 ::

Seperti minggu lepas, kelas pertama setiap minggu adalah kelas Modal Insan yang diajar oleh Dr. Azhar Bin Wahid. Hari ini beliau menekankan lagi tentang konsep modal insan dalam konteks kami sebagai bakal guru. Menurut pendapat seorang pelajar, guru bukan hanya sebagai pendidik tetapi hari ini guru ibarat seorang artis yang patut menjadi ikon kepada pelajar-pelajarnya dengan menunjukkan contoh dan personaliti yang baik dan menarik. Dr telah mempersetujui pendapat pelajar tersebut dan mengakui bahawa guru pada hari ini tidak lagi seperti guru pada masa dahulu yang dianggap sebagai ibubapa dan amat dihormati oleh para pelajar.

Dr. Azhar juga membincangkan mengenai konsep modal insan secara meluas. Antara contoh yang diambil adalah seperti sikap kita membuang sampah sama ada dibuang secara betul ke dalam tong sampah atau hanya dicampak sahaja tanpa memastikan sampah betul-betul masuk ke dalam tong sampah. Contoh lain yang diambil adalah sikap pemandu yang gemar melakukan kesalahan lalulintas seperti memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had laju. Sikap yang buruk seperti contoh yang diberikan inilah menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai ciri modal insan.

::Latar Belakang Keluarga::

Saya dilahirkan dalam keluarga yang agak besar. Saya merupakan anak ke sepuluh daripada sepuluh orang adik beradik. Namun seorang kakak dan abang saya telah kembali ke rahmatullah seawal umur 3 bulan dan satu tahun. Jadi yang masih menghirup udara di bumi Allah ini hanyalah tinggal lapan orang dan kesemua abang dan kakak saya telahpun berumahtangga. Bapa saya bernama Mohammad Yusop Bin Abdan dan kini berumur  69 tahun. Beliau dilahirkan di Sungai Rambai, Melaka. Beliau pada mulanya merupakan seorang guru. Namun akibat daripada kekacauan komunis pada masa itu beserta semangat patriotik yang ada di dalam dirinya, maka beliau telah menyertai pasukan tentera Malaysia untuk sama-sama memerangi penjajah. Maka tidak hairanlah bapa berwatakan bengis dan garang kerana mungkin terbawa-bawa tugasnya sebagai tentera. Namun dengan kebengisan beliaulah, kini kami adik beradik berada pada tahap yang boleh dikatakan selesa. Beliau telah tamat berkhidmat  dengan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1986 dengan pangkat terakhirnya ialah sarjan. Kini beliau aktif di dalam Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan sedang menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera kawasan Simpang Renggam disamping menjadi ahli jawatan kuasa tertinggi  Persatuan Bekas Tentera Negeri Johor. Baru-baru ini beliau dianugerahi Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada karajaan Malaysia di atas sumbangannya terhadap negara.
Ibu pula bernama Asmah Binti Saip yang kini berumur  61 tahun. Ibu dilahirkan di Mersing, Johor dan dibesarkan dalam keluarga nelayan. Perkara yang menyedihkan tentangnya, beliau langsung tidak dapat mengetahui bagaimana rupa ibu yang melahirkannya kerana arwah nenek meninggal sewaktu melahirkan ibu. Tiada sebarang foto arwah nenek yang dapat ditatap oleh ibu kerana pada waktu itu keluarga datuk amat daif dan tidak mampu untuk memiliki sebarang alat perakam. Namun menurut datuk, wajah ibu sekarang memang seiras rupa arwah nenek. Ibu hanyalah suri rumah tangga sepenuh masa, namun pernah juga bekerja di ladang sewaktu bapa saya berkhidamat sebagai tentera di Sarawak. Ibu ketika itu mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga  dan cuba membantu mencari pendapatan lebih kerana pendapatan bapa sebagai tentera ketika itu amat kecil dan jauh berbeza dengan pendapatan tentera pada masa kini. Saya sungguh bangga mempunyai seorang ibu seperti beliau yang begitu kuat mengharungi sebarang onak duri dalam kehidupan.
Seterusnya mengenai adik-beradik saya. Saya akan menceritakan serba sedikit berkenaan adik beradik kerana jika saya ingin menceritakan seorang demi seorang secara terperinci mungkin akan melibatkan lebih daripada 5 halaman pada blog ini. Saya mempunyai dua orang kakak dan lima orang abang. kesemuanya telah berumahtangga dan bekerja. Ada diantaranya yang menjadi guru, ahli perniagaan, penolong pengurus, jurutera PETRONAS, pegawai pelancongan, penasihat servis PROTON, dan pembantu tadbir di Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman. Pada masa ini saya telahpun bergelar pakcik kerana saya sudah mempunyai 19 orang anak saudara.
Saya rasa cukup setakat ini berkenaan latar belakang diri dan ahli keluarga. Terima kasih kerana sudi melawati dan membaca ‘Pemerhati Sejagat’.

::Biodata Pengarang Blog 'Pemerhati Sejagat'::

Nama sebenar saya ialah Norehsan Arif Bin Mohammad Yusop dan selesa dengan panggilan ‘Ehsan’ dikalangan rakan-rakan, serta panggilan ‘Arif’ dalam kalangan ahli keluarga. Di dalam bidang penulisan, seperti penulisan sajak, puisi dan sebagainya, saya sering menggunakan nama pena ‘Nur 30’ ataupun ‘Abi Insyirah’. Saya dilahirkan pada 20 November 1988 di Hospital Kluang, Johor.

Mendapat pendidikan awal di Tabika Kemas Kampong Chokro, Simpang Renggam, Johor iaitu di kampung halaman saya sendiri. Seterusnya mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, Johor dari tahun 1995 hingga tahun 2000 dan dalam masa yang sama turut mendapat pendidikan fardhu ain di kelas kafa Balai Raya Batu Tujuh, Simpang Renggam selam dua tahun. Apabila tamat kelas kafa, pengajian sekolah agama diteruskan di Sekolah Agama Simpang Renggam dari tahun 1997 hingga tahun 2000. Apabila tamat tahun 6, saya telah meneruskan pendidikan sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam dan terpilih memasuki kelas Rancangan Khas Agama (RKA) sehingga tingkatan tiga dan tinggal di asrama harian sekolah tersebut. Pengajian agama diteruskan sehingga peringkat darjah khas di Sekolah Agama Kompleks Penghulu, Simpang Renggam dan memperoleh pangkat satu. Selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2004, saya masih meneruskan persekolahan di sekolah yang sama dalam aliran sains agama sehingga memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2005.

Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya meneruskan pelajaran ke tingkatan enam dalam aliran sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Haji Hassan Yunos, Renggam dari tahun 2006 hingga tahun 2007 sehingga memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Ketika itu subjek yang diambil ialah Pengajian Am, Bahasa Melayu, Ekonomi, Geografi dan Syariah.

Berbekalkan kelayakan daripada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, saya telah diterima untuk melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak dan memulakan pengajian pada bulan Julai 2008. Pada mulanya ingin mengambil subjek pendidikan islam sebagai subjek minor, namun fakulti telah menetapkan bahawa semua pelajar pendidikan bahasa Melayu diwajibkan mengambil subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek minor kerana mempunyai hubungan yang saling berkait di antara kedua-dua subjek tersebut. Sehingga blog ini di bina, saya masih di dalam tahun tiga dan masih berbaki satu tahun untuk melayakkan saya bergraduan sebagai seorang bakal guru bahasa Melayu.

::Permulaan Dalam Dunia Blog::

Assalamualaikum W.B.T...

Sebelum memulakan penulisan dan luahan idea di dalam blog yang tak seberapa ini, biarlah saya bercerita tentang latar belakang diri saya terlebih dahulu. Kata orang 'tak kenal maka tak cinta'. Oleh sebab yang demikian, saya akan menceritakan serba sedikit tentang diri saya supaya anda yang membaca blog ini boleh mengenali siapa saya sebagai insan yang kerdil di bumi Allah yang luas ini. Blog ini diwujudkan bertujuan membincangkan fenomena  dan penggunaan bahasa yang berlaku sekitar kehidupan saya. Namun ada juga beberapa bahagian yang saya selitkan adalah di luar bidang bahasa. Selain itu, blog ini juga merupakan salah satu syarat lulus kursus Sosiolinguistik BML3083 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu di bawah seliaan Dr. Siti Saniah. Oleh hal yang demikian, sebarang penulisan saya di dalam blog ini, saya akan cuba menggunakan peraturan bahasa yang betul supaya menepati ciri-ciri bahasa Melayu yang sebenar.