CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!

Rabu, 16 Mac 2011

:: Situasi 16 : Berapa Kilo Mau? ::


SITUASI :
Hari ini saya bercadang untuk memasak sendiri di kolej bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Sejak dari pagi saya sudah bersiap untuk ke pasar membeli barangan yang diperlukan untuk memasak. Semasa di pasar, saya ingin membeli bawang besar di sebuah kedai yang di miliki oleh seorang peniaga berbangsa Cina. Apabila dia melihat saya memilih beberapa ulas bawang, dia menghampiri saya dengan tujuan untuk membantu. Berikut merupakan perbualan di antara saya dengan peniaga cina terbabit. 
Peniaga : Bos, berapa kilo mau? Saya tolong angkat kasi awak.
Saya : Eh tak pa, saya mau sikit saja.
Peniaga tersebut menggunakan istilah kilo untuk mengetahui berapa banyak kuantiti yang saya perlukan.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, saya kadangkala terfikir beraapa banyak istilah yang dipendekkan dan digunakan untuk merujuk situasi yang berbeza. Seperti perkataan kilo yang saya nyatakan di atas, apabila digunakan di dalam urusan jual beli barang runcit, sudah tentu ia merujuk kepada kilogram. Namun kita juga sering mendengar istilah kilo digunakan untuk bertanyakan jarak sesuatu tempat. Apabila digunakan untuk merujuk jarak, sudah tentu perkataan kilo tadi membawa maksud kilometer. Terdapat banyak lagi perkataan yang terdapat istilah kilo namun tidak sekerap penggunaan kilogram dan kilometer. Perkara ini mungkin tidak memberi masalah kepada golongan dewasa yang sudah boleh merujuk sesuatu perkataan berdasarkan situasi yang sesuai. Kesan yang tidak baik sebenarnya bakal dihadapi oleh kanak-kanak yang masih mencari penguasaan bahasanya. 


:: Situasi 15 : Istilah Pondan ::


 SITUASI :
Hari ini saya pergi ke kelas seperti biasa. Semasa di dalam lif untuk turun ke bawah, saya telah terserempak dengan sekumpulan pelajar lelaki yang berlagak seperti pelajar perempuan lakunya. Berdasarkan daripada perbualan mereka, terdapat beberpa perkataan yang saya jarang dengari daripada individu biasa. Salah satu perkataan yang dapat saya ingati ialah ‘kacmuk’. Semasa mendengar perkataan tersebut, saya membayangkan mungkin mereka ingin berkata berkecamuk dan memendekkannya sahaja menjadi ‘kacmuk’ setelah ditanya daripada beberapa orang rakan yang juga rapat dengan kumpulan pelajar terbabit, baharulah saya dapat mengetahui makna sebenar perkataan berikut. ‘Kacmuk‘ yang diperkatakan mereka bukanlah bermaksud kecamuk, sebalinya membawa makna muka yang kacak.

ULASAN :
Berdasarkan situasi di atas, kita dapat lihat bahawa golongan seperti berikut sememangnya suka mencipta dan menimbulkan istilah-istilah baru dengan tujuan memudahkan komunikasi antara mereka dan mengelakkan orang lain mengetahui perkara sebenar yang mereka pertuturkan. Pada pandangan saya, penciptaan istilah-istilah seperti berikut hanyalah merosakkan keindahan bahasa Melayu tanpa memberikan sebarang kebaikan. Selain merosakkan bahasa Melayu yang indah, sudah tentu moral mereka juga telah rosak sedikit demi sedikit berdasarkan penampilan mereka yang kadangkala mengalahkan seorang perempuan.


:: Situasi 14 : Bahasa Tinggi ::


SITUASI :
Hari ini saya akan melaksanakan satu tugasan berkumpulan iaitu pembentangan bertajuk Sejarah Melayu. Tugasan ini merupakan salah satu tugasan subjek Karya Agung yang saya pelajari untuk semester ini. Sebelum tiba hari pembentangan, sejak dari semalam saya sudah bersedia dengan pelbagai bahan rujukan agar mudah melontarkan maklumat dan mudah memberi jawapan sekiranya terdapat soalan yang diutarakan oleh pensyarah atau rakan sekelas. Saya berasa sungguh yakin pada hari berkenaan kerana sebelum ini saya sememangnya jarang menghadapi masalah untuk melaksanakn pembentangan. Namun suatu yang malang bagi saya, hari ini saya mengalami kebuntuan idea setelah ditegur oleh pensyarah berkenaan cara pembentangan yang saya lakukan. Berikut merupakan teguran daripada beliau :
“Berhenti. Saya tidak mahu pembentangan yang seperti dilakukan kepada audien tiangkatan dua. Saya mahu pembentangan yang dilakukan kepada orang dewasa.”
Saya yang sudah mula membentang ketika itu, tiba-tiba kelu untuk meneruskan kata-kata. Saya sememangnya sudah terbiasa dengan cara pembentangan bersama golongan pelajar kerana kami sendiri sudah di didik untuk menjadi guru. Namun dengan teguran tersebut, saya kehabisan kata-kata dan akhirnya terpaksa menghabiskan pembentangan lebih awal. Terdetik di dalam hati saya ketika itu, “begini rupanya penangan ahli bahasa bergelar Profesor Emeritus.”

ULASAN :
Bersdasarkan situasi di atas, saya melihat kesilapan sebenarnya terletak di bahu saya sendiri. Hal ini demikian kerana, sebagai seorang bakal pembentang, saya seharusnya mengetahui lebih lanjut berkenaan kemahuan pensyarah yang akan menilai. Walaupun saya sudah biasa melakukan pembentangan dengan cara bersahaja, namun apabila berhadapan situasi sedimikian dan diminta untuk menggunakan laras bahasa yang tinggi, saya tidak dapat laksanakan dengan sebaiknya kerana saya kurang mengambil berat tentang hal sedemikian. Selepas itu, saya telah menjadikan situasi ini sebagai satu pengajaran dan akan mula mempelajari menggunakan laras bahasa tinggi di dalam pembentangan-pembentangan yang lain.


:: Situasi 13 : Biokrasi Atau Birokrasi? ::


SITUASI :
Semasa proses kempen pilihan raya kampus UPSI yang lepas, terdapat beberapa situasi bahasa yang berlaku dan masih saya ingat. Pada hari kempen dan rapat umum yang pertama, dapat di lihat beberapa calon dan wakil calon begitu lantang memperkenalkan diri dan mengutarakan kepincangan yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak yang bertanding. Terdapat pelbagai kesalahan bahasa yang dilakukan daripada calon dan wakil calon antaranya seperti penggunaan struktur ayat yang tunggang langgang dan ada juga yang menggunakan istilah yang salah. Salah satu kesalahan yang dapat saya rakam ialah penggunaan istilah ‘biokrasi’. Sebenarnya calon tersebut ingin memperkatakan tentang karenah birokrasi di pihak pentadbiran UPSI yang banyak menyusahkan pelajar. Pada masa tersebut, saya juga telah mendengar perbualan dua orang mahasiswa yang kebetulan ada di hadapan saya.
Pelajar A : wei, biokrasi ke birokrasi?
Pelajar B : haha aku rasa dia ni budak biologi kot. Semua dia nak bantai bio. Sampai birokrasipun jadi  biokrasi.

ULASAN :
Saya melihat situasi seperti ini sering berlaku di dalam pelbagai kempen, sama ada kempen pada pilihan raya kampus mahupun pilihan raya umum. Kadangkala, seseorang yang berucap atau berpidato dalam keadaan yang marah ataupun terlalu bersemangat, susunan kata-kata akan menjadi pincang dan semakin banyak pula penyalahgunaan istilah yang berlaku. Seperti situasi yang saya perhatikan di atas, banyak lagi kesalahan bahasa yang berlaku dengan sewenang-wenangnya. Apabila seseorang itu ketandusan mencari istilah sesuai untuk disampaikan, maka akan terbit pula istilah bahasa rojak dan ada juga yang menggunakan dialek negeri masing-masing. Pada pendapat saya, seseorang yang ingin berpidato, haruslah melakukan ulang kaji supaya kata-kata yang disampaikan lebih teratur selain dapat mengelakkan daripada menggunakan istilah yang jelas menyalahi peraturan bahasa Melayu. Jika seorang pemimpin sudah menggunakan bahasa yang berterabur dan istilah yang salah, maka orang lain yang mendengar akan memandang rendah terhadap pemimpin tersebut malah ia akan menggalakkan orang lain menggunakan bahasa Melayu yang salah.


::Situasi 12 : Kata Nasihat ::


SITUASI :
Hari ini saya pulang ke kampung halaman untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu yang menetap di Johor Bharu. Walaupun di dalam masa yang amat suntuk, saya terpaksa juga memenuhi kemahuan ibu bapa yang mahukan saya pulang melihat majlis berkenaan. Setelah majlis selesai, saya mengambil keputusan untuk pulang dengan segera kerana masih ada pelbagai tugasan yang perlu diselesaikan. Semasa hendak pulang ke universiti, emak telah berpesan sebelum saya memulakan perjalanan. Berikut merupakan pesanan daripada emak yang menjadi  semangat saya untuk meneruskan pembelajaran :
Emak : Baik-baik jalan. Jangan bawak laju-laju.
Saya : Yelah mak. Bawak biasa-biasa je.
Emak : Belajar elok-elok, jangan lupa sembahyang.
Saya : Okey mak. Gerak dulu lah. Dah lewat ni.
Saya pun bersalaman dan memulakan perjalan untuk pulang ke universiti.

ULASAN :
Situasi di atas dilihat amat ringkas, namun mampu memberi kesan kepada setiap individu yang bergelar anak. Saya sendiri yang menghadapi situasi sedemikian turut terasa sebak dengan amanat pendek daripada emak. Walaupun pesanannya pendek, namun saya akan turuti pesanannya dengan harapan mendapat keberkatan untuk berjaya dalam kehidupan. Begitulah kuasa seorang ibu yang kita sedia maklum bahawa setiap pertuturannya kepada kita merupakan satu doa.


:: Situasi 11: Kali Ini Amat Sukar.


SITUASI:
Pada 12 Februari 2011, saya bersama beberapa orang rakan telah pergi ke Kem Modal Insan Kebajikan Wanita dan Remaja (KEWAJA). Pada mulanya saya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program tersebut terutamanya berkenaan slot bersama pelatih kem terbabit. Apabila tiba di sana, saya berasa gugup dan hilang keyakinan untuk mengendalikan program kerana melihat suasana kem terbabit yang begitu asing dengan lelaki. Saya tidak pernah berasa gugup sebegitu semasa mengendalikan program-program yang lepas. Mungkin kebetulan pada hari tersebut kesihatan saya tidak mengizinkan. Setelah berfikir beberapa kali, akhirnya saya meminta rakan perempuan untuk mengendalikan slot-slot yang telah dirancang.

ULASAN:
Kem KEWAJA ini sememangnya tempat pembelaan untuk kaum wanita dan remaja yang mengalami pelbagai masalah seperti masalah rumah tangga, masalah sosial sehinggalah mengandungkan anak luar nikah. Bagi mengendalikan program sebegini, seseorang itu haruslah mempunyai sifat profesional yang tinggi lebih-lebih lagi jika golongan lelaki yang ingin menjalankan program. Keputusan saya menyerahkan tugas kepada rakan perempuan adalah keputusan yang tepat kerana saya sendiri berasa kelu dan tidak lancar berkata-kata semasa sesi pengenalan diri. Apa yang saya fikirkan sememangnya tepat bahawa pelatih di situ boleh dikatakan semuanya telah membenci golongan lelaki termasuklah saya yang langsung tidak mengenali mereka. Ada dalam kalangan mereka yang menggelarkan lelaki sebagai buaya tidak kiralah siapa lelaki terbabit. Saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan program tamat pada waktu yang dirancang. sehingga program berakhir, saya tetap merasa risau untuk mengeluarkan sebarang kata-kata mahupun pertanyaan kepada mereka kerana bimbangkan mereka terasa hati ataupun terguris dengan kata-kata yang saya tuturkan.